PETALING JAYA – “Ibu, (Siti Sarah) ini satu step (langkah) sahaja yang you (awak) kena lepaskan, you minta Allah kuatkan semangat you”.
Perbualan terakhir penyanyi terkenal, arwah Siti Sarah bersama suaminya, Shuib diselitkan menerusi video muzik (MV) Tinggalkan Diriku berjaya menyentuh hati dan perasaan pendengar.
MV tersebut dihasilkan dengan menggabungkan konsep karikatur memberikan seribu satu makna kepada pendengar terutamanya peminat arwah.
Selain itu, dalam perbualan yang dikongsikan, arwah meminta Shuib untuk tidak bersedih dan menangis atas apa yang terjadi.
“You (Shuib) jangan nangis, you janji jangan sedih dan ampunkan dosa-dosa I (Sarah),” katanya menerusi perbualan yang dirakam oleh Shuib.
Rata-rata pendengar meninggalkan pelbagai reaksi di ruangan komen dan ada yang mengalirkan air mata.
“Lirik dan penyampaian lagu oleh arwah buatkan air mataku mengalir,” kata Nurul Hafizah.
“Cuba untuk menahan rasa sedih ketika mendengar lagu ini, tapi bila sampai perbualan terakhir tu air mata terus mengalir, Al-Fatihah buat arwah kak Siti Sarah,” kata Erma Secret.
“Tahniah ANIMATOR dan pasukan. Hasil kerja terbaik sebab bukan senang untuk menghidupkan semula figura yang kini tiada di alam nyata,” kata Puaka Handsome.
Kini, MV tersebut berjaya meraih 1.3 juta tontonan dan menerima 115,000 ribu tanda suka di YouTube. – K! ONLINE