LOS ANGELES – Pemain golf terkemuka dunia, Tiger Woods mendedahkan bahawa dia kemungkinan menolak untuk kembali secara aktif dalam sukan golf profesional dan hanya turun secara sambilan berikutan kecederaan kaki yang teruk ketika kemalangan kereta pada Februari lalu.
Woods yang merangkul 15 gelaran utama termasuk lima jaket hijau Masters menegaskan, dia hanya bermain kejohanan terpilih sahaja sekiranya kakinya pulih sepenuhnya.
Woods mendedahkan bahawa dia bimbang apabila kemalangan yang menimpanya itu hampir membuatkan kakinya terpaksa dipotong berikutan kecederaan serius.
Woods mengalami patah tulang pada tibia kanan dan fibula dalam kemalangan di California.
“Saya fikir secara realistik selepas ini saya akan turun ke siri jelajah PGA bukan secara sepenuh masa dan saya akan memilih beberapa kejohanan yang sesuai seperti dilakukan Ben Hogan.
“Saya akan sertai kejohanan terpilih sahaja pada tahun tersebut. Ini adalah realiti dan saya menerimanya,” katanya.
Woods sebelum ini terpaksa menjalani beberapa pembedahan di belakang badan tetapi pulih dengan cukup baik untuk meraih kemenangan mengejutkan di Masters 2019.
Bagaimanapun, kali ini dia berkata, dia akan lebih berhati-hati untuk menjalani proses pemulihan.
“Apa pun saya tidak perlu bersaing dan menentang pemain terbaik di dunia untuk menjalani kehidupan yang hebat.
“Selepas pulih daripada kecederaan belakang, kini saya terpaksa mendaki Gunung Everest sekali lagi. Saya terpaksa melakukannya dan tidak berputus asa.
“Saya masih boleh mengambil bahagian dalam permainan golf. Saya masih boleh beraksi jika kaki saya baik, saya masih boleh lakukannya,” katanya. – AGENSI