ONDON – Pengendali Aston Villa, Steven Gerrard mencabar pasukannya untuk mencipta kejutan sensasi dengan menewaskan pasukan gergasi, Manchester City menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Villa Park awal pagi esok.
Sebagai rekod, Gerrard telah mempamerkan prestasi cemerlang dengan membantu pasukan merekodkan dua kemenangan berturut-turut sejak dilantik menjadi pengendali baharu bagi menggantikan posisi Dean Smith bulan lalu.
Kata Gerrard, pertembungan taktikal pertama menentang pengendali berpengaruh City, Pep Guardiola sememangnya menjadi detik yang dinantikan tetapi pada masa sama mengakui tugasan untuk mencuri mata bagaikan misi mustahil.
“Saya harap perlawanan menentang City adalah mudah tetapi secara realiti, ia tidak akan berlaku. Apa yang pasti, saya percaya pasukan kami lebih selesa dengan gelaran underdog dan mahu barisan pemain beraksi tanpa sebarang tekanan.
“Sudah tentu pemain sudah mula memahami falsafah bola sepak yang saya cuba terapkan dengan kejayaan merekodkan dua kemenangan berturut-turut tetapi cabaran baru sahaja bermula dan mahu mereka tidak mendabik dada,” katanya.
Sementara itu, pertahanan Villa, Matt Targett mengakui suasana dalam bilik persalinan ketika ini cukup harmoni dengan barisan pemain sangat bermotivasi untuk mengharungi baki saingan EPL selepas gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan awal musim ini.
“Sudah lama pasukan tidak merekodkan dua kemenangan berturut-turut dan saya akui kehadiran Gerrard telah menaikkan semula semangat pemain. Meskipun akan bertemu City, saya tidak mahu pasukan tertekan memandangkan kami akan beraksi di laman sendiri,” katanya. – AGENSI