PERSATUAN Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tanpa berselindung mengakui berdukacita selepas pihaknya dan Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) mengumumkan Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia yang sepatutnya berlangsung 7 hingga 12 Disember ini dibatalkan.
Keputusan bersama itu terpaksa dibuat selepas beberapa negara mengesahkan tidak dapat menyertai kejohanan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil gara-gara masalah visa dan sekatan perjalanan.
Meskipun SRAM sudah melakukan usaha terbaik bagi memastikan semua pasukan dapat menyertai kejohanan tersebut, namun penyertaan Israel yang tidak diterima ramai menyebabkan kejohanan tidak dapat diteruskan.
Dalam pada itu, penularan varian baharu Covid-19, Omicron di beberapa buah negara seluruh dunia turut membimbangkan SRAM yang bertindak sebagai penganjur kejohanan.
“Kami sangat berdukacita untuk mengumumkan Kejohanan Berpasukan Dunia terpaksa dibatalkan. Saya tahu pemain-pemain turut bersedih selepas bekerja keras menjalani latihan selama ini.
“Ramai pemain yang sudah bersedia untuk menyertai kejohanan ini dan memperbaiki prestasi mereka, namun tidak dapat melakukannya. Bagaimanapun, kami berterima kasih atas sokongan semua pihak yang cuba menjayakan kejohanan ini,” kata Presiden SRAM, Gerard Monteiro.
Justeru, beliau berharap skuad lelaki negara mengalihkan fokus terhadap Kejohanan Individu Asia yang dijadualkan berlangsung di Pakistan bermula 15 hingga 19 Disember ini.
“Saya tahu pasukan negara kita juga kecewa dengan pembatalan ini tetapi marilah kita memberikan fokus terhadap Kejohanan Individu Asia di Pakistan nanti. Saya bersimpati dengan situasi semua pemain,” ujarnya.
Meskipun Kejohanan Berpasukan Lelaki Dunia dibatalkan, namun Kejohanan Berpasukan Asia yang sedang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil ketika ini akan tetap diteruskan. – K! ONLINE