PEMAIN berpengalaman, Shukor Adan menjadi pemain profesional paling bertuah selepas mengakhiri karier dengan penuh gemilang apabila menjulang Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur City FC (KL City).
Pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, KL City menewaskan Johor Daru’ Ta’zim (JDT) 2-0 menerusi jaringan Zhafri Yahya dan Paulo Josue.
“Saya tidak akan lupa pengalaman ini sampai bila-bila kerana ini adalah pengakhiran karier saya sebagai pemain profesional. Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan kerana realisasikan impian saya.
“Pada usia 42 tahun, saya masih mampu menang Piala Malaysia. Main seminit pun tidak apa,” kata Shukor.
Malah, kesetiaan Josue dan Zhafri yang turut dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir juga nyata penantian berbaloi.
Paulo dan Zhafri kekal setia bersama pasukan, tidak kira ketika jatuh ke Liga Premier atau pun beraksi di saingan Liga Super.
“Saya betul-betul terkejut dengan pencapaian ini, kami menang 21 perlawanan tidak pernah kalah. Di final kami bukan pilihan tetapi kita mampu kalahkah Johor,” kata Zhafri.
“Ini sebahagian daripada kerja dan saya sudah tunjukkan kepada pasukan. Ia menjadi musim yang hebat dan saya bangga dengan seluruh pasukan ini,” kata Paulo. – K! ONLINE