WASHINGTON – Pasukan penyelidik di Amerika Syarikat mendakwa vahawa robot ‘Pac-Man’ ciptaan mereka yang diperbuat daripada sel-sel katak boleh menyelesaikan pelbagai masalah di dunia seperti pencemaran plastik dan penyakit kanser, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Robot hidup dinamakan ‘Xenobot’ itu dicipta menggunakan sel daripada embrio katak dengan strukturnya diperbuat daripada sel kulit selain mempunyai sel jantung yang bertindak sebagai motor kecil untuk menggerakkannya.
Menurut penulis utama kajian itu dari Universiti Vermont, Prosefor Joshua Bongard, pasukannya menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) untuk mencipta ‘xenobot’. Ia memiliki bentuk menyerupai permainan video popular suatu masa dahulu, Pac-Man.
Robot itu boleh digunakan untuk berenang dan mencedok cebisan kecil pencemaran plastik dari lautan selain membantu menyelesaikan beberapa cabaran besar kesihatan.
‘’Kami mencipta xenobot yang berjalan. Kami mencipta xenobot yang berenang, dan kini, dalam kajian terbaharu kami, kami mencipta xenobot yang boleh menghasilkan replika.
‘’Jika kita tahu bagaimana untuk memberitahu koleksi sel untuk melakukan apa yang kita mahu, ia akan lakukannya. Inilah penyelesaian kepada kecederaan traumatik, kecacatan kelahiran, kanser dan penuaan,’’ katanya.
Mesin hidup sintetik itu merupakan sel kawanan yang sama yang sudah ‘mempamerkan pergerakan yang diselaraskan’ dan kini ditetapkan untuk menjadi ‘atanomi berskala besar’ seperti tisu organ.
“Kami menunjukkan bahawa xenobot boleh menavigasi persekitaran berair dalam pelbagai cara, sembuh selepas rosak dan menunjukkan tingkah laku berkumpulan,” kata pasukan penyelidik berkenaan dalam kertas hasil kajian mereka. – Agensi