PETALING JAYA – Setiap buah mempunyai cara dan jenis potongan yang betul agar ia mudah untuk dimakan dan tidak mengundang kepada bahaya.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia, anggur antara buah yang berbahaya kerana ia mudah tercekik jika dimakan disebabkan cara potongan yang salah.
“Bukan tak boleh makan anggur atau buah-buahan lain, pastikan ia dipotong secara memanjang dan bersaiz kecil.
“Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dikejarkan ke hospital kerana alami sesak nafas selepas tercekik sebiji buah anggur,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah portal tersebut, walaupun anggur kelihatan lembut dan bersaiz kecil, ia sudah cukup untuk menyendal saluran pernafasan kanak-kanak.
“Mangsa bernasib baik kerana masih terdapat sedikit ruang untuk menyalurkan tiub pernafasan.
“Pembedahan telah dilakukan untuk mengeluarkan buah anggur tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, buah anggur lebih selamat untuk dimakan jika kulit anggur dibuang terus kerana selaput anggur yang licin akan menyukarkan proses mengeluarkan anggur dari tekak sekiranya tercekik. -K! ONLINE