PETALING JAYA – Penggiat seni diminta mengenepikan perbezaan ideologi dan tidak bercakaran demi kemajuan industri perfileman tanah air.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata, segala percanggahan pendapat harus diselesaikan secara harmoni sejajar dengan hasrat kerajaan mempromosi konsep Keluarga Malaysia.
“Sebelum ini kita selalu disogokkan kontroversi di sana sini, jadi sekarang sudah masa untuk kurangkan konflik. Jika ada idea bagus individu itu cuma perlu cadangkan dan bincang.
“Tidak perlu masuk media sosial semata-mata mahu menghentam sesama sendiri sedangkan setiap perkara boleh diselesaikan secara harmoni.
“Dalam dunia sekarang, baik orang politik, artis atau atlet kena kurangkan konflik. Buat apa suka gaduh dan cari perbezaan, padahal sebenarnya mereka terlupa akan titik persamaan.
“Jadi harapnya semua persatuan seni janganlah bercakaran, saya sebagai bapa atau atuk mahu menasihatkan, kita ceriakan kerjaya kita, tak perlu timbulkan polemik yang tidak baik,” katanya.
Annuar berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) di Hotel Royal Chulan The Curve, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Profesor Md Nasir Ibrahim dan Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Sementara itu, Annuar turut menegur sikap segelintir penggiat industri hiburan yang tidak ambil peduli dengan penganjuran FFM yang diadakan bagi meraikan mereka sendiri.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Ketereh, seluruh pekerja seni patut memberikan sokongan terhadap acara tahunan yang sudah lebih tiga dekad direalisasikan sekali gus menjadi penanda aras terhadap kemajuan industri.
“Saya faham dalam situasi pandemik masa sekarang mungkin ada yang terlepas pandang penganjuran FFM kali ini memandangkan mereka sudah kembali bekerja.
“Bagaimanapun, kalau dilihat segala publisiti yang dihebahkan di media, mereka sepatutnya sudah tahu seterusnya lebih peka dengan perkembangan anugerah besar ini.
“Wartawan dan televisyen memainkan peranan menyebarkan promosi anugerah ini, tetapi mereka (orang industri) pula tidak mahu ambil ‘port’ (tak peduli) apa yang berlaku di sekeliling.
“Ini bukan festival untuk orang lain, ini khas buat semua anak seni sama ada yang berada di depan layar, mahu pun kru belakang tabir,” katanya.
FFM31 yang mempertandingkan 55 filem dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 10 Disember ini.
Buat pertama kalinya, pemenang Filem Terbaik bakal membawa pulang trofi bersama geran Dana Kandungan Digital yang bernilai RM500,000. – K! ONLINE