KUALA LUMPUR – Bagaikan pasangan hadir pada majlis karpet merah, begitulah romantiknya pelakon Nynaa Harizal dan suaminya Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas yang berpimpin tangan hadir di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Ia apabila kedua-duanya bersetuju untuk berbaik yang kemudian persetujuan itu direkodkan oleh Hakim Syarie Mohd. Yusof Sulaiman pada sebutan semula kes permohonan Mohamed Fahmi untuk Nynaa kembali taat.
Ketika prosiding hari ini selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan bersetuju untuk berbaik, hakim Syarie itu sempat menasihatkan kepada pasangan itu apabila mengatakan perbincangan adalah penyelesaian yang terbaik.
“Kalau pagi itu tidak bercakap, petang itu dah kena geletek isteri (bergurau senda), biar ada komunikasi,” kata hakim Syarie itu.
Terdahulu pada 11 November lalu, Mohamed Fahmi ,29, memfailkan tuntutan supaya Nynaa atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal ,25, kembali taat.
Tuntutan itu difailkan Mohamed Fahmi sebagai plaintif terhadap Nynaa selaku defendan.
Berdasarkan dokumen antara tuntutan plaintif, ialah defendan diperintah kembali taat dan pulang kediaman mereka di Jalan Pinang di sini.
Selain itu tuntutan turut menyatakan ia bertujuan menyelamatkan pernikahan mereka supaya defendan kembali menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan hidup dalam kasih sayang.
Sejurus selepas tamat prosiding, Mohamed Fahmi ketika ditemui berkata, dia akan mengadakan satu sidang akhbar khas dalam masa terdekat bagi mengulas lanjut mengenai isu rumah tangganya.
“We will explain everything about our situation (kita akan jelaskan tentang situasi kami). Dekat PC (Press Confrence) nanti you guys (kamu semua) boleh tanya 10, 20, 30 soalan,” katanya.
Dalam prosiding hari ini, Mohamed Fahmi diwakili peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar manakala Nynaa diwakili peguam syarie Roslizam Rahim.
Sebelum ini, media turut melaporkan Nynaa hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru bagi satu prosiding sebutan permohonan perceraian secara baik dengan Fahmi.
Kata Nynaa, pihaknya telah memfailkan Permohonan Penceraian Dengan Talaq atau Dengan Perintah di bawah Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam (Negeri Johor) Tahun 2003.
Kontroversi pasangan itu bermula apabila pada 3 November lalu media hiburan melaporkan Mohamed Fahmi tidak pasti di mana keberadaan isterinya namun mengesyaki Nynaa kini berada di kediaman keluarga mertuanya di Johor selepas ‘dilarikan’ tanpa kebenarannya beberapa hari lalu.
Difahamkan, bapa kepada Nynaa yang merupakan seorang pesara tentera tidak merestui perkahwinan mereka disebabkan faktor kewangan.
Justeru, Mohamed Fahmi telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam semalam berhubung kejadian terbabit dan meminta pihak polis menyelamatkan isterinya yang dakwanya, dilarikan secara paksa.
Fahmi dan Nynaa mendirikan rumah tangga pada 28 Ogos lalu dan tidak dikurniakan cahaya mata. – K! ONLINE