fbpx

Pekerja salon tertipu lelaki menyamar kenal majikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

JEMPOL – Seorang pekerja salon terpaksa menggantikan kembali wang premis tempat kerjanya setelah tertipu dengan lelaki menyamar mengenali majikannya dalam kejadian di Bahau, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pada pukul 11.40 pagi, ketika mangsa iaitu wanita berusia 22 tahun sedang bekerja di salon berkenaan, seorang lelaki telah datang serta meminta nombor telefon majikannya.

Menurutnya, lelaki berkenaan seolah-olah menghubungi majikan mangsa dihadapan mangsa dan memaklumkan majikan menyuruh mangsa menggunakan duit kaunter untuk membayar hutang pendawaian kedai.

“Mangsa telah mengikut arahan lelaki tersebut sehingga membayar wang sebanyak RM750 secara tunai tanpa ada sebarang resit. Selepas lelaki itu beredar, mangsa berhubung dengan majikan dan majikan membuat penafian di mana tidak ada sebarang hutang dengan lelaki tersebut dan meminta mangsa untuk menggantikan semula duit tersebut.

“Mangsa yang bimbang telah membuat laporan polis di Balai Polis Bahau dan menafikan telah menyalahgunakan wang syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chang Hook berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tidak mengenali lelaki tersebut serta tidak dapat memberi perincian berkaitan lelaki berkenaan.

Malah menurutnya, mangsa juga tidak diberikan sebarang resit selepas pembayaran berkenaan dibuat.

“Kita nasihatkan untuk semua pihak berhati-hati dengan trend jenayah komersial berkenaan dan sewajarnya membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum menyerahkan wang kepada individu yang mendakwa dari mana-mana organisasi serta mengenali majikan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI