ARAU – Pengalaman mencabar setelah hilang pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah memberi kesan mendalam kepada bekas tukang masak berpengalaman selama 20 tahun, Azizi Abu Bakar, 39.
Krisis pandemik telah membuatkan dia hilang sumber pendapatan apabila kedai makan di dalam salah sebuah universiti di sini iaitu tempat dia bekerja terpaksa memberhentikan operasi buat seketika sepanjang tempoh berkenaan.
Namun, anak kedua daripada empat adik beradik itu kini menarik nafas lega apabila sudah dapat kembali bekerja seperti biasa selepas pembukaan sektor ekonomi yang sekali gus merancakkan semula perniagaan di kedai-kedai makan.
Terdahulu, dia pernah bekerja di beberapa buah kedai makan sepanjang tempoh fasa pertama dan kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun menerima gaji jauh lebih rendah.
“Kami faham pada masa itu, majikan terpaksa memotong gaji ekoran kekurangan pelanggan apabila tidak dibenarkan makan di kedai.
“Keadaan kini sudah seperti biasa dengan pelanggan kembali ramai dan suasana di kedai makan kembali sibuk.
“Pembukaan semula sektor ekonomi banyak membantu kami menjana semula pendapatan,” katanya.
Pembantu kedai makan, Nor Hisham Kamis,36, berkata, dia kembali menerima gaji penuh RM80 sehari selepas kedai makan tempatnya bekerja kembali meriah seperti sebelum PKP.
Dalam masa sama, dia juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan yang banyak memberi bantuan sepanjang tempoh mencabar pelaksanaan PKP sebelum ini.
“Masa PKP, kami terpaksa berehat seketika sebelum dapat bekerja semula pada fasa pertama dan kedua PKP tetapi menerima gaji sedikit rendah ekoran kekurangan pelanggan,” jelasnya.
Selain itu, seorang lagi pembantu kedai, Nur Saana Syaza Mohd. So An, 18, pula berkata, suasana di kedai-kedai makan kembali meriah dan membuatkan dia lebih bersemangat untuk bekerja dan mencari duit tambahan.