JERANTUT – Sepasang suami isteri warga emas hanya mampu menyaksikan rumah yang didiami mereka sejak menyertai tanah rancangan Felda 50 tahun lalu musnah dalam kejadian kebakaran di Felda Padang Piol di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang itu rumah didiami pasangan warga emas Johari Edrus, 69, dan isterinya musnah dalam kebakaran.
Johari berkata, meskipun sedih melihat rumah yang penuh dengan sejarah kehidupan mereka musnah di depan mata namun dia bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian berkenaan.
“Semasa kejadian saya dan isteri berada di luar rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan kecil api membakar bahagian dalam rumah.
“Saya tidak mampu berbuat apa-apa memandangkan api begitu cepat marak dan membakar keseluruhan rumah sehinggalah anggota bomba tiba dan memadam kebakaran,”katanya di sini hari ini. -K! ONLINE