PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong , Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad di Istana Negara, hari ini.
Pada sesi menghadap tersebut, Noraini telah mempersembahkan Watikah Perakuan Naik Taraf Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) kepada Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) kepada Al-Sultan Abdullah.
Majlis persembahan watikah tersebut juga turut disaksikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang juga merupakan Tuanku Canselor universiti tersebut.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mohd Zabri Yusoff.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar dan Rektor KUIPSAS Prof. Madya Dr. Mohd. Zawavi Zainal Abidin.-K! ONLINE