SEREMBAN – Selebriti popular, Noor Neelofa Mohd. Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail dilepas tanpa dibebaskan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah premis permaidani di Nilai, Mei lalu.
lalu.
Majistret Mohd. Firdaus Saleh membuat keputusan itu selepas mengambil kira hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan yang mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan.
Terdahulu, Noor Neelofa, 32, dan Muhammad Harris, 26, yang memakai baju berwarna biru tiba di Kompleks Mahkamah Seremban di sini pada pukul 9.40 pagi tadi.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling memberitahu, representasi yang telah dihantar oleh pihak pembelaan kepada pihak Jabatan Peguam Negara telah dipertimbangkan.
Sementara itu, pihak pembelaan yang diketuai peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui selepas prosiding kes berkata, mahkamah memutuskan untuk menarik balik iaitu membebaskan tanpa melepaskan dua pertuduhan terhadap Muhammad Haris manakala satu pertuduhan ke atas Noor Neelofa.
“Representasi kami telah pun diterima Jabatan Peguam Negara. Kes ini bukanlah perkara besar tetapi dibesar-besarkan.
“Tetapi (jika kes diteruskan) ia akan berlarutan jadi panjang, dengan keadaan Noor Neelofa yang hamil tidak sesuai kita jalankan kes ini, kita ambil cara mudah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Muhammad Shafee, pihak pembelaan berpuas hati dengan keputusan mahkamah walaupun yakin ketiga-tiga pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamnya boleh menang dengan mudah.
Sementara itu, usaha pihak media untuk mendapatkan maklum balas daripafa Noor Neelofa berhubung keputusan mahkamah terbabit gagal kerana selebriti itu hanya mendiamkan diri.
Muhammad Shafee memberitahu tindakan kompaun akan dikenakan terhadap anak guamnya pada hari ini atau esok namun jumlah kompaun belum ditetapkan tetapi sangat minima.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu.
Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember ini bagi sebutan semula kes untuk perintah pelepasan dan pembebasan (DNA).