PARIS – Bintang Argentina, Lionel Messi yang dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or kali ketujuh telah memberikan penghargaan buat pencabarnya iaitu penyerang Poland dan Bayern Munich, Robert Lewandowski.
Pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu merasakan adalah sesuatu yang cukup berharga untuk bermain pada era sama dengan Lewandowski.
“Saya ingin katakan kepada Robert, adalah menjadi satu penghargaan untuk bersaing dengan anda.
“Beliau berhak memenangi anugerah ini pada tahun lalu,” kata Messi merujuk kepada prestasi hebat Lewandowski.
Lewandowski yang meledak 53 gol buat Bayern Munich dalam semua pertandingan sepanjang tahun ini berada di tempat kedua, namun tetap diberi penghargaan sebagai Penyerang Terbaik.
Pemenang anugerah Ballon d’Or diundi oleh 180 wartawan dari seluruh dunia dan tiada pemenang diumumkan pada tahun lalu (2020) selepas dunia dilanda pandemik Covid-19.
Messi, 34, meraih anugerah itu selepas membantu negaranya menjuarai Piala Copa America selain meledak 40 gol sepanjang 2021, 28 untuk Barcelona, empat ketika bersama PSG dan lapan gol dihasilkan buat Argentina.
Sebelum ini Messi memenangi anugerah ini pada 2009, 2010, 2011, 2012, 2015 dan 2019.
“Luar biasa untuk sekali lagi berada di sini. Saya fikir dua tahun lalu adalah yang kali terakhir.
“Orang mula bertanyakan kepada saya bila akan bersara, namun sekarang saya berada di sini dan saya cukup gembira,” kata Messi. – AGENSI