fbpx

‘Menang kalah nombor dua’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NIKKI PALIKAT

NIKKI PALIKAT satu nama yang mungkin sudah hampir dilupakan ramai dalam kalangan peminat muzik dan hiburan tanah air.

Bagi yang pernah melihat perjalanan muziknya, Nikki bagaimanapun masih memahat satu ingatan yang masih bersisa sehingga kini.

Buktinya, dia tersenarai antara 13 nama lain yang berjaya meloloskan diri berentap untuk merebut gelaran juara program realiti popular, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

Sebenarnya, penantian peminat untuk melihat Nikki atau nama sebenarnya Nicolette Louisa Palikat beraksi di pentas berskala besar tersebut sudah lama, hanya pada hujung 2021, rezeki dan ruang baginya sudah berkunjung tiba.

Bagi Nikki, kepercayaan yang diberikan merupakan satu peluang untuk terus menyerlahkan bahawa bakatnya masih relevan sebagai penyanyi.

Mengakui aktiviti nyanyian agak perlahan dan tidak serancak dahulu, Nikki bagaimanapun tetap aktif dalam dunia hiburan, namun lebih cenderung ke lapangan teater muzikal.

BEKAS peserta Malaysian Idol musim pertama (2004) ini mengakui benar-benar teruja dapat bersaing di GV8, sekali gus kembali mengasah vokalnya yang sudah lama ‘berkarat’.

“Kalau ditanya ke mana saya menghilang, jujurnya saya tidak pernah menghilang apatah lagi menyepi atau merajuk.

“Sebelum sertai GV8, saya banyak menghabiskan masa dan memberi tumpuan di pentas teater.

“Sebab itu saya terpaksa perlahankan sedikit kerjaya nyanyian,” katanya kepada HibGlam.

Meneruskan perbualan, Nikki yang juga isteri kepada komposer terkenal Audi Mok turut mengakui kesibukannya menjaga dan fokus kepada anak, sekali gus membuatkannya kelihatan ‘ghaib’ daripada arus industri.

“Jika sebelum ini saya memang beri sepenuh masa jaga anak tunggal lelaki saya sampai tak ada masa untuk kerjaya seni.

“Tetapi sekarang anak sudah menginjak umur 11 tahun, secara tak langsung bolehlah saya ‘tinggalkan’ dia sementara dan kembali fokus dengan nyanyian. Itu juga salah satu sebab saya bersetuju terima pelawaan GV8 tahun ini,” ujarnya.

MENEGASKAN ‘kehilangannya’ sebelum ini bukan bermakna dunia nyanyian terus lenyap daripada impian, Nikki sebaliknya mengambil sedikit waktu untuk member laluan membesarkan anak tunggal, Liam.

Teruja, asah vokal

Memasuki minggu kedua penyertaan, keterujaan Nikki untuk mengekalkan kedudukan lima teratas sekali gus menundukkan saingan lain semakin berganda. Katanya, sebelum berentap, dia sudah bersedia untuk kembali menghangatkan dan menggegarkan pentas GV8. Antara yang diberi fokus utama adalah mengasah semula keampuhan vokal.

“Untuk GV8 ini, nak atau tidak, saya kena masuk kelas vokal. Maklumlah, sudah berapa lama tidak menyanyi dan beraksi atas pentas. Macam-macam perasaan ada.

“Walaupun rata-rata peserta kali ini mempunyai kehebatan tersendiri, namun paling tak disangka adalah kehadiran kumpulan Senario dan Adibah Noor.

“Terus-terang, saya teruja dapat beraksi satu pentas dengan mereka. Peserta-peserta lain pun tidak kurang hebatnya.

“Masing-masing ada keunikan serta kelebihan tersendiri,” katanya.

MENCECAH usia 36 tahun, Nikki tidak menyangka masih diberi peluang untuk berentap dalam program realiti popular, Gegar Vaganza bersama barisan artis berbisa.

Harapan menggunung

Ditebak mengenai jangkaan awal ramai bahawa Nikki antara yang bakal bertahan hingga minggu ke-10 persaingan GV8, jawabnya, masih terlalu awal untuk membuat ramalan sebegitu.

Dalam apa jua pertandingan, macam-macam perkara boleh berlaku. Nikki selesa dengan pendekatan untuk tidak meletak harapan menggunung, namun pada masa sama sedaya termampu akan cuba melakukan yang terbaik.

“Kalah atau menang, itu nombor dua. Niat dan tujuan asal saya menyertai GV8 kerana mahu mencabar kemampuan diri menyanyikan pelbagai genre muzik dan lagu penyanyi lain.

“Untuk itu, saya tahu perkara tersebut pastinya bukan satu benda mudah dan boleh dipandang enteng.

“Saya akan cuba memberikan persembahan yang terbaik untuk saban minggu.

KALI terakhir merakamkan lagu pada tahun 2008, Nikki berhasrat untuk hadir dengan sebuah album studio sebaik sahaja tamat program GV8.

“Pada masa sama, ‘kemunculan semula’ yang paling dinanti-nantikan peminat dan penyokong selama ini perlu dibalas.

“Saya kena mengotakan janji untuk memberikan yang sehabis baik,” ujarnya.

Pada masa sama, anak kelahiran Tambunan, Sabah itu mengakui, kemunculan semula di pentas nyanyian turut dipengaruhi hasratnya untuk melahirkan sebuah album solo kelak.

“Memang sudah lama saya simpan hasrat untuk ada album solo sendiri tidak lama lagi.

“Jadi, GV8 ini secara tak langsung jadi platform untuk saya asah sedalam-dalamnya kekuatan vokal yang kian ‘karat’ ini,” katanya lantas menoktahkan bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI