TURIN, Itali – Pasukan Croatia dilihat mahu mengulangi pencapaian terbaiknya sewaktu menjulang kemenangan Piala Davis 2018 selepas melangkah ke separuh akhir dengan membenam cabaran pasukan Itali semalam.
Pasangan beregu Croatia, Nikola Mektic-Mate Pavic diangkat sebagai wira selepas berjaya mengatasi pasangan Itali, Jannik Sinner-Fabio Fognini dengan kemenangan straight-set 6-3, 6-4 dalam tempoh 79 minit.
Kemenangan tersebut mengesahkan Croatia melangkah ke peringkat separuh akhir untuk memburu kemenangan kedua mereka dalam Piala Davis selepas menjuarainya pada 2005 dan 2008.
Pada perlawanan pertama, Croatia tampil garang apabila pemain ranking No.279 dunia, Borna Gojo melakukan kejutan mengatas pemain ranking No.27 dunia, Lorenzo Sonego 7-6 (2), 2-6, 6-2.
“Sungguh luar biasa kerana saya berjaya meriah kemenangan pertama sekali gus mampu membantu rakan-rakan yang lain untuk terus mengutip mata.
“Kami meletakkan kepercayaan tinggi kepada acara beregu dan yakin mereka mampu melakukan kejutan. Pada akhirnya, kami berjaya melangkah ke separuh akhir.
“Apa-apa pun kami meraih sokongan padu di sini dan ingin mengucapkan terima kasih terutama kepada rakan-rakan dan keluarga yang hadir hari ini (semalam).
“Perjuangan kami belum selesai dan akan melakukan terbaik untuk merebut kemenangan di Piala Davis,” kata Gojo. – AGENSI