fbpx

‘Kami akan menanti kakak, bayi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAHIDAH akan menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi sulungnya selepas koma dipercayai dipukul suaminya.

SEREMBAN – Hari ini merupakan detik paling ditunggu dan bermakna buat Jahidah Nordin, 43, yang koma dipercayai menjadi mangsa keganasan suaminya kerana dijangka melahirkan bayi sulungnya secara pembedahan.

Jahidah dijadual melahirkan bayi lelakinya secara pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, setakat semalam, mereka sekeluarga masih menunggu perkembangan terbaharu me­ngenai keadaan Jahidah daripada pihak hospital.

“Kami sekeluarga hanya mampu berserah kepada Allah SWT agar kakak selamat menjalani pembedahan melahirkan bayi sulungnya esok (hari ini).

“Kami semua akan menanti kakak dan bayinya pulang ke rumah dalam keadaan selamat, sama-sama kita mendoakan ke­dua-dua mereka selamat. Insya-Allah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.


JAHIDAH akan menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi sulungnya selepas koma dipercayai dipukul suaminya.

Berita berkaitan: Wanita koma dipukul suami bersalin 1 Disember

Fauziah merupakan individu yang bertanggungjawab menjaga Jahidah selepas wanita itu dibenarkan keluar wad dan ditempatkan di rumahnya di Bandar Seri Sendayan di sini.

Mengulas lanjut, Fauziah berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan adiknya dan memberikan kata-kata sema­ngat kepada mereka sekeluarga sepanjang mengharungi tempoh sukar tersebut.

Fauziah juga berharap ba­panya yang berada di Sabah dan adik-beradik lain bersabar menghadapi apa jua kemungkinan yang menimpa Jahidah dan bayi yang bakal lahir hari ini.

Jahidah yang masih koma dimasukkan ke Wad Obstetrik dan Ginekologi, HTJ pada 22 November lalu, namun keluarga tidak dibenarkan menemani atau me­lawat wanita itu disebabkan prosedur yang ketat di musim pandemik.

Berita berkaitan: Isteri hamil parah dibelasah suami

Kosmo! sebelum ini melapor­kan Jahidah yang sarat hamil dijangka melahirkan bayi sulung­nya secara pembedahan pada 1 Di­sember ini.

Doktor memaklumkan Jahidah bakal berdepan pelbagai komplikasi termasuk berkaitan pernafasan, pendarahan, jangkitan kuman, jantung terhenti dan kematian.

Berita berkaitan: Suami kejam dicekup selepas 38 hari

Dalam kejadian pada 4 Mei lalu, Jahidah yang merupakan penjawat awam koma selepas mengalami kecederaan pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak akibat dipukul suaminya yang berusia 38 tahun di Johor.

Jahidah hanya mampu terlantar di katil dan berkemungkinan akan lupa ingatan selepas cedera pada bahagian kepala setelah disyaki dipukul Mei lalu. – Gambar fail

Jahidah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan dipindahkan ke HTJ atas permintaan keluarga sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Susulan kejadian itu, pada 17 Jun lalu, suami Jahidah, Rosmaini Abd. Raof, 38, yang juga seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap isteri ketiganya. Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI