PETALING JAYA – Usahawan diminta sentiasa melatih diri dan berfikiran luar kotak agar perniagaan diusahakan berdaya maju serta berdaya saing dalam persekitaran dunia yang semakin mencabar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kreativiti dan inovasi dalam penghasilan produk serta perkhidmatan merupakan dua elemen penting untuk mengekalkan jenama dalam pasaran, selain meningkatkan hasil jualan dan kepercayaan pelanggan.
“F&B (makanan dan minuman) adalah antara industri yang sentiasa berinovasi bagi memenuhi kehendak semasa dan cita rasa pelanggan tempatan, contohnya, kuih tradisional Melayu iaitu ondeh-ondeh atau buah melaka telah dipelbagaikan menjadi bermacam pencuci mulut seperti aiskrim dan juga sebagai perisa dalam minuman,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian program Ikon Inspirasi Impian anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), sempena ulang tahun yang ke-30 semalam.
Program yang diadakan secara maya itu menerapkan konsep ‘Hero Untuk Hero’ yang mana peneraju industri dan tokoh perniagaan dijemput berkongsi tips, ilmu, pengalaman serta trend terbaharu corak aliran pasaran dan perubahan landskap ekonomi kepada rakan usahawan.
Tokoh terlibat ialah Pengasas dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md. Radzi; Pengarah Urusan Kacamuda Resources Sdn. Bhd., Datuk Roslee Muhamad Robat dan Pengarah Urusan Showood Sdn. Bhd., Abdullah Marzuki Mohamed Shaarani.