fbpx

Impian gadis mahu bernikah berkecai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan hari pertunangan Noor Shiada dan Mohammad Alif pada Julai lalu.

SUNGAI PETANI – Impian seorang gadis untuk mendirikan rumah tangga pada 13 Disember ini musnah selepas tunangnya maut dalam kemalangan di Kilometer 33.5, Lebuh Raya Utara-Selatan di Jitra dekat sini, Jumaat lalu.

Noor Shiada Mohd. Ridwan, 22, berkata, dia mendapat tahu mengenai kejadian yang menim­pa arwah tunangnya, Mohammad Alif Afifi Yaridi, 22, pada pukul 11.30 malam hari sama menerusi panggilan telefon yang dibuat bakal mentuanya.

Dalam kejadian pada 11.18 malam itu, Mohammad Alif maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar belakang sebuah lori di lokasi kejadian.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu. Pada mulanya memang sukar untuk menerima kenyataan arwah sudah ‘pergi’.

“Selepas ditenangkan oleh ahli keluarga, saya beristighfar dan reda dengan dugaan ini,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga arwah di Taman Permatang Katong, Kota Kuala Muda di sini semalam.

MUNIRAH (kanan) menunjukkan cincin yang akan dipakai oleh Noor Shiada (kiri) pada majlis perkahwinan 13 Disember ini.

Menurut Noor Shiada, pemergian arwah tunangnya memberi kesan besar ke atas dirinya ke­rana arwah yang dikenali sejak di bangku sekolah seorang lelaki yang baik.

Pasangan itu bertunang pada 21 Julai lalu sempena ulang tahun kelahiran arwah Mohammad Alif dan majlis pernikahan pada 13 Disember ini pula merupakan tarikh lahir Noor Shiada.

“Kami akan bernikah tidak sampai tiga minggu lagi dan segala persiapan sudah dilakukan. Saya akan simpan semua bara­ngan hantaran tunang walaupun dia telah tiada,” ujarnya.

Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan semasa kali terakhir mereka bertemu sehari sebelum kejadian.

Sementara itu, ibu arwah, Munirah Mustafa, 44, berkata, dia kehilangan anak lelaki yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada keluarga tetapi terhadap tunang dan rakan baiknya.

“Semua persiapan majlis tunang dibuat menggunakan wang simpanan arwah, malah persiapan majlis kahwin juga telah siap. Tunggu tarikh sahaja,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar belakang sebuah lori. Mangsa yang terjatuh kemudian dilanggar pula oleh sebuah motosikal yang ditunggangi rakannya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI