fbpx

Dilema anak muda, bekerja atau lanjut pelajaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REMAJA masa kini boleh memilih sama ada untuk mengikuti kursus secara dalam talian atau melalui GAMBAR HIASAN

EKONOMI pastinya mengambil masa untuk pulih seperti sediakala selepas era pandemik Covid-19.

Setiap orang terutamanya remaja mempunyai perancangan untuk mengembangkan potensi diri dengan sebaik mungkin dan terdapat banyak cara boleh diambil untuk merealisasikannya.

Untuk itu, tindakan terbaik perlu dipertimbangkan sesuai dengan perancangan dan kemampuan serta suasana ekonomi semasa.

Pada usia muda, para remaja menghadapi dilema sama ada untuk mengejar pengalaman bekerja atau melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Selepas pandemik Covid 19 ini, keperluan tuntutan persekitaran sering menjadi sebab individu cenderung memilih jalan untuk bekerja.

Sebilangan individu memilih untuk terus bekerja dan pada masa sama, belajar kemahiran yang bersesuaian demi masa depan lebih baik.

Manakala, di sudut lain, ada sekumpulan individu memilih untuk memperluas pengetahuan dan jaringan mereka dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi.

Pendidikan merupakan elemen asas dalam pembentukan modal insan yang akan menentukan daya saing sesebuah negara.

Bagaimanapun, tidak semestinya kualiti diri seseorang terhenti di situ sahaja jika dia tidak mengikuti pendidikan tinggi.

Dalam keadaan pandemik, senario pertama adalah meneruskan pendidikan tinggi sebelum memulakan dunia pekerjaan.

Dalam hal ini, remaja harus mengetahui alternatif pendidikan yang ada antara pendidikan formal melalui kelas di universiti atau beralih ke Massive Open Online Course (MOOC).

BEKERJA tidak menyekat seseorang untuk terus melanjutkan pelajaran bagi meningkatkan keupayaan diri.
–GAMBAR HIASAN

MOOC di universiti-universiti di Malaysia seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkembang pesat ekoran pandemik bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti produktif yang memperluaskan pengetahuan.

Jika ingin menguasai pengkhususan dengan sasaran tertentu, maka pendidikan formal di institusi pengajian tinggi adalah pilihan terbaik kerana MOOC dirancang sebagai program pengajian jangka pendek dengan sasaran tinggi untuk pembelajaran peribadi.

Waktu yang diperuntukkan bagi pendidikan formal adalah lebih lama dibandingkan dengan MOOC.

Inilah sebab mengapa orang yang mengambil pendidikan formal lebih dihargai kebanyakan orang.

Bayangkan ketika seseorang mengikuti pendidikan perniagaan siswazah, misalnya pada semester pertama, dia belajar mengenai asas-asas keusahawanan.

Bersambung pada semester kedua, mempelajari teori lanjutan daripada asas-asas keusahawanan yang telah difahami, seterusnya mengkaji kajian kes keusahawanan dari serata dunia.

Selepas itu, mempelajari bagaimana menyelesaikannya pada semester berikutnya untuk persiapan dan penyelidikan tesis.

Pelbagai kemahiran yang ada dianggap dapat membentuk pelajar untuk memahami sains keusahawanan yang maju, bersama cabaran dan realiti yang mereka hadapi dalam tugasan harian atau tesis.

Bandingkan dengan seseorang yang mengambil bidang keusahawanan menerusi MOOC.
Memang, persamaannya adalah mereka belajar sains keusahawanan dari awal, mengkaji kajian kes sehingga program MOOC berakhir.

Masalahnya adalah, suasana yang dirasakan oleh pelajar yang mengikuti MOOC tidak sama seperti di kelas formal.

Pada akhirnya, sekurang-kurangnya hingga ke hari ini, ijazah yang diperoleh melalui pendidikan formal unggul dengan kelebihan yang tidak diragukan lagi.

Ahli Pendidikan mengakui, MOOC memang memberikan sijil sebagai tanda bahawa individu telah menyelesaikan kursus, tetapi diploma dan ijazah formal masih lebih kuat untuk mengesahkan kemampuan individu dalam sesuatu bidang.

Dalam pada itu, pendapat yang mengatakan bahawa pemegang ijazah akan memudahkan kemajuan kerjaya tidak lagi selalu benar.

Kemampuan individu akan dinilai melalui pencapaian dalam dunia pekerjaan.

Sebagai contoh, seorang lulusan sekolah menengah sudah mempunyai kemahiran yang baik dalam bidang teknologi.

Kemungkinan dia akan diterima bekerja sebagai pembangun web di sebuah syarikat.

Seorang yang mempunyai ijazah pascasiswazah pula tidak mempunyai skil interpersonal yang baik dan berkemahiran, membuat syarikat berfikir dua kali menerimanya.

Bekerja tidak akan menutup peluang untuk memperdalam pengetahuan individu dengan pendidikan formal.

Melalui pengalaman kerja yang ada, individu dapat membuat keputusan dengan bijak untuk mengambil tumpuan yang jelas mengikut minat dan kemampuan sebenar mereka.

Kelebihan ini menjadi tujuan utama untuk pengembangan diri individu, kerana mereka yang memperdalam pengetahuan dalam bidang diceburi boleh memberi sumbangan lebih maksimum kepada bidang itu setelah tamat belajar.

Manfaatnya tidak hanya akan dirasakan oleh mereka sebagai individu yang melalui proses pembelajaran, tetapi juga oleh syarikat tempat bekerja kerana ia memberikan modal insan yang berkelayakan.

Sebagai contoh, seseorang boleh mengikuti pendidikan pascasiswazah Inovasi Keusahawanan setelah dua tahun bekerja di bidang Pemasaran digital.

Apabila dia memperoleh ijazah lanjutan, dia dapat menerapkan pelajaran di kampus ke tempat kerjanya.

——————————————————————————————————————————————————————————————————————Afizan Amer ialah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Kampus Rembau, Universiti Teknologi Mara Negeri Sembilan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI