PETALING JAYA – Meskipun pasukannya, Johor Darul Ta’zim (JDT) kecundang pada perlawanan akhir Piala Malaysia semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini telah menzahirkan ucapan penghargaan buat pemain, KL City, Shukor Adan.
Ucapan tersebut dizahirkan Tunku Ismail menerusi satu ciapan di laman Twitter hari ini.
Kata Tunku Ismail, meskipun perlawanan semalam tidak berpihak kepada pasukannya, namun baginda kagum dengan perjalanan karier pemain ‘legenda’ tersebut.
“Bukan keputusan yang baik buat kami tetapi saya gembira untuk Shukor. Satu perjalanan (karier) yang mengagumkan. Terima kasih kerana memberikan inspirasi. Selamat berehat legenda,” ciap baginda.
Terdahulu, pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, pasukan KL City menewaskan JDT dengan keputusan 2-0.
Gol KL City dijaringan oleh Zhafri Yahya pada minit ke-65 dan Paulo Josue minit ke-75.-K! ONLINE