KATAKAN sekarang, apa sahaja yang tidak dicapai oleh kumpulan popular Blackpink sejak memulakan debut pada 2016?
Saban tahun, ada sahaja rekod yang dipecah kumpulan itu, baik dari segi jumlah tontonan video dalam YouTube mahupun penstriman karya-karya mereka menerusi pelbagai platform digital lain.
Terbaharu, kumpulan dianggotai Lisa, Jennie, Jisoo dan Rose itu melakar kejayaan manis apabila menjadi artis pertama yang memiliki jumlah subscriber (pelanggan) paling tinggi di dunia.
Sehingga pukul 11 pagi Sabtu lalu, mereka mencatat melebihi 70 juta pelanggan YouTube rasmi, Blackpink.
Rekod luar biasa tersebut dicapai Blackpink dalam masa lima tahun lima bulan sejak membuka akaun rasmi tersebut pada 28 Jun 2016.
Kejayaan tersebut menumpaskan nama besar seperti Justin Bieber yang kini berada di kedudukan kedua dengan memiliki sebanyak 66.4 juta pelanggan.