SHAH ALAM – Sejumlah 1,076 kes penderaan kanak-kanak dicatatkan di Selangor dalam tempoh sembilan bulan bermula Januari tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, jumlah kes tersebut berdasarkan maklumat yang diterima pihaknya daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
“Jumlah kes ini dipecahkan kepada tiga kategori iaitu penderaan fizikal sebanyak 527 kes, penderaan dan gangguan seksual (514 kes) dan penderaan emosi (35 kes).
“Semua kes ini tidak dikhususkan kepada kes pedofilia,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati) berhubung jumlah kes pedofilia yang berlaku di Selangor sejak 2018. -K! ONLINE