ATLANTA, GEORGIA – Seorang wanita dilaporkan memberi susu badan kepada kucing peliharaannya ketika berada dalam penerbangan walaupun berulang kali dihalang oleh penumpang dan kru kabin, lapor laman berita Wion News semalam.
Insiden yang menyebabkan penumpang lain berasa tidak selesa itu dikatakan berlaku dalam penerbangan DL1360 milik Delta Air menuju ke Atlanta.
Petugas Delta Air diminta oleh juruterbang pesawat untuk memberi peringatan kepada penumpang tersebut sekali lagi selepas penerbangan itu mendarat.
‘’Petugas Delta Air bertemu penumpang itu di tempat duduk 13A ketika dia menyusukan kucing peliharaannya. Penumpang itu juga tidak mahu meletakkan kucingnya kembali ke dalam sangkar ketika diminta berbuat demikian oleh kru kabin,’’ demikian menurut kenyataan kru kabin semasa menjelaskan insiden tersebut.
Syarikat penerbangan Amerika itu turut dimaklumkan telah mengalami sekitar 84 peratus peningkatan insiden yang berkaitan haiwan peliharaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Agensi