LONDON – Pengurus sementara Manchester United, Michael Carrick mendedahkan, beliau pulang dengan kekecewaan selepas mereka sekadar seri 1-1 dengan Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Meskipun perlawanan dikuasai sepenuhnya oleh The Blues, namun beliau optimis skuad kendaliannya mampu memenangi perlawanan itu sekiranya Chelsea tidak dihadiahkan sepakan penalti.
Pada perlawanan tersebut, United terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Jadon Sancho yang bijak mengambil kesempatan atas kesilapan Jorginho sebelum pemain Itali itu menebus kesilapan apabila meledak gol penyamaan hasil sepakan penalti.
“Saya akui sangat kecewa dan tidak puas hati dengan keputusan ini. Kami terlebih dahulu menjaringkan gol, namun mereka kembali menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang tidak sepatutnya diberikan.
“Secara keseluruhan, saya fikir kami menampilkan aksi yang cukup baik serta lebih teratur. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi kami apabila sekadar pulang dengan satu mata,” kata Carrick.
Dalam pada itu, beliau juga mempertahankan keputusannya meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan kerana menganggap ia keputusan terbaik bagi menyesuaikan pasukan dengan taktikalnya.
“Keputusan itu bukanlah di sebabkan oleh arahan pengurus yang akan masuk nanti (Ralf Rangnick). Ia hanyalah percaturan pasukan bagi mendapatkan hasil terbaik daripada taktikal saya,” ujarnya. – AGENSI