SEPANG – Kerajaan memberi jaminan bahawa semua bakal jemaah haji negara ini masih lagi diberikan subsidi kecuali yang mahu memilih pakej swasta dan sanggup membayar kos lebih.
Demikian bayangan awal disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang memberi gambaran kemungkinan subsidi akan terus dinikmati seperti biasa.
“Tabung Haji memang setiap tahun akan buka permohonan untuk bakal jemaah yang tidak mahu mengambil subsidi melalui pakej dikendalikan agensi swasta, tetapi jumlahnya tidak ramai.
“Justeru, setakat ini, begitulah (subsidi) diteruskan sebagaimana biasa sebelum isu Covid-19 timbul tahun lepas, namun perkara muktamad itu belum lagi dibincangkan oleh Kabinet,” katanya selepas menyantuni kumpulan pertama 228 orang jemaah umrah diuruskan Amal by Malaysia Airlines selepas hampir dua tahun ia tidak beroperasi. – K! ONLINE