fbpx

Semua akan sokong KL City, kecuali penyokong JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BOJAN (kiri) percaya skuad bimbingannya tidak ada tekanan berbanding JDT menjelang aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Hadir sama pada sidang akhbar ialah Shukor. – FARIZ RUSADIO

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI dan MOHD. FITRIE MUHAMAD

SOKONGAN para peminat bola sepak dari negeri lain bakal beralih kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) yang dianggap cuba mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Lebih selesa dengan status bukan pilihan, pengendali KL City, Bojan Hodak sedar ramalan atas kertas akan memihak kepada JDT, namun lawan itu pasti berdepan lebih banyak tekanan.

“Semua orang mahu bermain pada final dan sebagai jurulatih, ini detik paling senang sebab semua pemain amat bermotivasi. Bagusnya, kami tidak ada tekanan sebab mereka kelab kaya dan fasiliti terbaik.

“Orang jangka mereka menang tetapi penyokong lain akan sokong kami sebab kami adalah underdog. Jika gagal jaringkan gol, mereka (JDT) akan rasa tekanan dan ini adalah perkara semula jadi.

“Mereka akan lebih tertekan sebab mereka ada dua skuad (termasuk kelab feeder), malah mereka juga ada pemain kebangsaan. Bagi kami pula, apa pun berlaku atas padang, ia akan beri keyakinan dan peluang untuk kejutan,” katanya pada sidang akhbar menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di Bilik Media Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Sebagai rekod, dua perlawanan peringkat Liga Super musim ini lebih berpihak kepada skuad Harimau Selatan yang menang sekali dan seri sekali.

Bagaimanapun, pentas final kali ini nyata beri 1,001 makna buat pemain berpengalaman, Shukor Adan yang bakal turun ke lapangan hijau buat kali terakhir sebagai pemain.

“Kami ada Shukor dan Indra Putra Mahayuddin, kedua-dua­nya pemain hebat. Saya harap kami mampu lakukannya untuk mereka. Tidak ada sesiapa pun akan ingat pasukan tempat ke­dua,” kata Bojan.

Sementara itu, Shukor mahu menjadikan final Piala Malaysia edisi ke-100 sebagai detik perpisahan paling istimewa buatnya.

“Siapa sangka KL City yang pada pusingan awal liga tidak begitu baik tetapi sekarang kami berada di pentas final. Ketika umur sudah 42 tahun, tidak sangka pula mampu ke final.

“Di sini juga saya umumkan persaraan saya. Final ini adalah tahun terakhir saya sebagai pemain dan kejayaan ini saya capai di penghujung karier. Bermain atau tidak, saya tetap rasa bangga dengan KL City,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI