PELAKON yang juga adik ipar kepada aktor Salman Khan, Aayush Sharma memberitahu bahawa abang iparnya sehingga kini masih belum berkahwin kerana terlalu sibuk dengan kerjayanya.
Ujar Aayush, Salman tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentang perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan jadual kerja yang sentiasa padat.
“Daripada pemerhatian saya terhadap kerjayanya, saya dapat simpulkan bahawa Salman terlalu sibuk sehingga dia tidak mempunyai masa untuk mencari pasangan hidup.
“Kesibukan itu membuatkan dia tidak mempunyai masa untuk memikirkan soal cinta dan berkahwin,” katanya.
Katanya lagi, menyentuh soal kehidupan abang iparnya itu, Salman mempunyai kehidupan yang sederhana. Bahkan pelakon tersebut juga menggunakan telefon bimbit yang sama sejak tiga tahun lalu.
“Dia (Salman) tidak begitu tertarik dengan gajet. Bukan itu sahaja, dia juga tidak berminat untuk membeli pakaian baharu. Kehidupannya cukup sederhana,” ujar Aayush.