Isu kenaikan harga barang terutamanya yang melibatkan barangan keperluan harian rakyat Malaysia seperti ayam, sayur-sayuran dan sebagainya kembali menjadi perhatian dan sudah tentunya merunsingkan banyak pihak.
Baru sahaja diberi kebenaran untuk bebas bergerak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan, rakyat Malaysia seolah-olah kembali runsing memikirkan kos sara hidup yang dijangka melonjak berkali ganda.
Malah media-media tempatan turut melaporkan tentang keperluan untuk membuat persediaan menghadapi kenaikan harga barang yang dijangka antara 30 hingga 200 peratus menjelang 2022 susulan fenomena global dan spekulasi peniaga.
Tinjauan di laman sosial media turut mendapati semakin ramai yang meluahkan perasaan tidak puas hati apabila perbelanjaan semakin meningkat malah ada yang merayu agar kerajaan melakukan sesuatu bagi mengekang masalah ini.
Pakar Kewangan Pengguna, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri berkata, kenaikan harga barang atau kos sara hidup adalah sesuatu yang boleh kita jangkakan apabila sektor ekonomi kembali dibuka malahan isu tersebut sebenarnya kerap berbangkit saban tahun.
“Ia berbalik kepada konsep bekalan dan permintaan di mana kita dapat lihat dari segi permintaan semakin meningkat, namun bekalan kurang selain banyak bergantung pada barangan import juga faktor ekonomi semasa dunia dan pandemik yang mengakibatkan isu ini berlaku.
“Tidak dinafikan ada dalam kalangan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga dengan pelbagai alasan, namun tidak boleh juga pandang ringan kos operasi dan perbelanjaan mereka yang mengakibatkan harga jualan terpaksa dinaikkan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Mohamad Fazli, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus panik kerana keadaan itu akan seterusnya membawa kepada pembelian panik yang pastinya akan memburukkan lagi keadaan.
“Lihat sahaja semasa PKP dahulu apabila berlaku pembelian panik, pelbagai barangan habis di pasar raya sehingga menyukarkan kehidupan pengguna itu sendiri. Bila permintaan semakin meningkat, di situlah orang akan ambil kesempatan untuk menaikkan harga.
“Tidak perlu panik, kawal perbelanjaan kita dengan membuat perbandingan harga dan sebagainya, sediakan bajet atau senarai perbelanjaan termasuk rancang perjalanan sebelum keluar rumah,” ujar beliau.
Jelas beliau, sebagai pengguna kita mempunyai kuasa untuk mengharungi isu kenaikan harga barang kerana kita mempunyai hak untuk membeli atau tidak, malah kita juga ada persatuan yang membela hak selain pelbagai saluran untuk adukan sebarang ketidaktelusan.
“Kerajaan juga perlu menjelaskan kepada rakyat jika benar akan berlaku kenaikan pada harga barang keperluan harian agar rakyat jelas dengan situasi semasa dan berlapang dada dengan perkara ini.
“Kita mempunyai pelbagai akta yang mengawal isu kenaikan harga, pencatutan, harga syiling, harga barang kawalan dan sebagainya jadi pergiatkan lagi dari segi penguatkuasaan selain memperbanyakkan pemantauan,” katanya.
Sebenarnya, tidak salah untuk berbelanja jika berkemampuan, namun jadilah pengguna yang bijak dan sentiasa beringat kerana kita tidak boleh jangkakan bila pandemik Covid-19 yang mengancam cara hidup manusia akan berakhir.
Jika sewaktu PKP kita mampu merancang setiap pembelian apabila berbelanja, mengapa tidak sekarang di kala terdapat spekulasi akan berlakunya kenaikan harga barangan.
Tepuk dada dan tanyalah selera anda!