JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan dan merampas lebih 40 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis berjumlah RM229,670 dalam empat serbuan operasi di sekitar kawasan Skudai, Iskandar Puteri dan Johor Bahru, 24 November lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, Asisten Komisioner Mohd. Afzanizam Yahaya berkata, dalam serbuan tersebut, polis menahan dua lelaki tempatan yang berumur 27 dan 34 tahun.
Beliau berkata, serbuan yang dilakukan antara 11.30 pagi hingga 12 tengah malam turut membongkar stor haram dadah sindiket berkenaan.
“JSJN Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah melancarkan empat serbuan berasingan. Ketika penahanan dibuat terhadap dua suspek itu, turut dirampas sejumlah rampasan dadah jenis ganja, heroin, serbuk dan pil ekstasi.
“Hasil tindakan susulan, pihak polis berjaya membongkar stor penyimpanan dadah jenis ganja dan heroin. Modus operandi sindiket dadah ini adalah dengan menyewa rumah berpagar dan berpengawal untuk dijadikan penyimpanan dan pembungkusan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Afzanizam berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak awal Julai lalu.
“Dengan tertangkapnya dua individu itu, pihak polis telah berjaya membuat rampasan dadah iaitu 29 ketulan ganja seberat 29.5kg, 21 bungkusan plastik lutsinar heroin seberat 10.5kg, 996 pil ekstasi seberat 299 gram,”ujarnya.
Turut dirampas ialah dua buah kereta jenis Honda CRV dan Toyota Camry, tiga motosikal jenis Yamaha iaitu LC135, RXZ dan 125 serta wang tunai RM2,644 serta SGD146.-K! ONLINE