fbpx

Merdeka 118 menara kedua tertinggi di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) ketika melakukan gimik Penyempurnaan Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 di tapak pembinaan projek Merdeka 118, Jalan Changkat Stadium di sini hari ini. /FOTO AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Penyempurnaan puncak menara Merdeka 118 hari ini meletakkan Merdeka 118 sebagai menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan menara tertinggi di Malaysia serta Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inspirasi untuk menamakan bangunan ini sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina di kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.

Katanya, reka bentuk menara yang tersergam teguh ini sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’, 64 tahun yang lalu.

“Saya berbangga kerana puncak menara ini dapat disempurnakan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

“Ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.

“Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di negara ini yang mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij,” katanya dalam ucapan ketika Majlis Perasmian Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 di sini hari ini.

Beliau berkata, pembinaan Merdeka 118 dengan ketinggian 678.9 meter bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint ini akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur.

Katanya, pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

“Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

“Permohonan Geran Merdeka 118 ini sudahpun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana sebelum ini Keluarga Malaysia memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu sukan, seni dan komuniti perniagaan.

“Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosio-ekonomi,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI