fbpx

KPKT akan bincang bina tembok tinggi perumahan berstrata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail (tengah) menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp., Ismail Mokhtar (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn. Bhd., Datuk Hashimah Hashim (dua dari kanan) menunjukkan dokumen selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di The Everly Hotel, hari ini. /FOTO FARIZ RUSADIO

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan berbincang bagi meneliti semula pembinaan tembok penghadang lebih tinggi melibatkan perumahan bertingkat atau berstrata bagi mengelakkan kejadian seperti kanak-kanak terjatuh.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib berkata, perbincangan berhubung perkara tersebut perlu dibuat bersama 14 lagi agensi lain yang melibatkan perumahan.

“Kita ada Bahagian Perumahan di kementerian ini jadi, kita akan teliti semula. Dalam konteks perumahan pula, ada 15 agensi yang terlibat dalam industri perumahan (termasuk di bawah KPKT).

“Jadi bukan sahaja KPKT tetapi ada 14 lagi antaranya di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan selain kerajaan-kerajaan negeri supaya semua sedar dan ambil perhatian untuk diselaraskan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ismail Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. (PJH), Datuk Hashimah Hashim.

Pada masa sama, Ismail berkata, beliau bersetuju dengan cadangan pembinaan tembok penghadang tersebut dalam mengambil kira faktor keselamatan penghuni terutama kanak-kanak.

“Banyak kes berlaku anak jatuh dari bangunan dan ibu bapa pula sibuk bekerja serta terlepas pandang apabila anak mereka memanjat. Kanak-kanak ini mempunyai potensi masa depan yang baik tetapi usia tidak panjang atas sebab kecuaian dan kelemahan kita.

“Selain itu, kita juga berharap syarikat pemaju perumahan meneliti perkara ini dan ia juga diberi perhatian oleh kerajaan. Kadangkala ia melibatkan kos tambahan (pembinaan tembok tinggi) tetapi biarlah tambah sedikit (kos) untuk selamatkan nyawa anak-anak,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI