fbpx

KL City ranapkan ego JDT di pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Para pemain KL City meraikan kejayaan mereka menewaskan pasukan JDT pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil sebentar tadi.

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI dan MOHD. FITRIE MUHAMMAD

KUALA LUMPUR – Pasukan Kuala Lumpur City (KL City) mencipta sejarah menjulang trofi Piala Malaysia buat kali keempat dengan menamatkan kemarau 32 tahun selepas menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan keputusan 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada aksi tersebut, skuad kendalian Benjamin Mora itu membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan trio serangan berbisa, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Bergson Da Silva.

Situasi sama dilakukan oleh pengendali KL City, Bojan Hodak yang mengekalkan ramuan sama ketika menyingkirkan Melaka United di pentas separuh akhir dengan jentera serangan diketuai oleh Romel Morales.

Pendekatan The City Boys yang seakan terlalu berhati-hati sepanjang 15 minit pertama hampir mengundang padah sebaliknya rembatan Bergson pada minit ke-9 sekadar singgah di tiang gol.

Selepas itu, KL City mula dilihat makin berani untuk memasuki kawasan lawan namun masih gagal menghadirkan tekanan buat Farizal Marlias di gawang JDT.

Walaupun cuba ditekan, Harimau Selatan masih mampu bertenang untuk kekal selesa mengawal tempo permainan.

Arif Aiman dilihat lebih banyak digunakan JDT untuk mengatur gerakan dan pemain muda itu beberapa kali berjaya mengatasi pertahanan kanak KL City, Kamal Azizi Zabri.

Bagaimanapun, dalam tempoh 10 minit terakhir, penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza cukup tangkas menafikan beberapa peluang terbaik dimiliki JDT sekali gus menyaksikan 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan.

Bersambung pada babak kedua, Mora mengambil keputusan untuk melakukan rombakan taktikal dengan memasukkan La’Vere Corbin-Ong untuk digantikan dengan pertahanan senior, S. Kunanlan selain Safawi Rasid turut dikeluarkan demi memberi ruang buat pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor.

Juara Liga Super itu dilihat semakin tertekan apabila KL City mencipta kejutan apabila meraih gol pembukaan hasil ledakan pemain sayap sensasi, Zhafri Yahya selepas menerima hantaran cantik J. Partiban pada minit ke-65.

Jaringan tersebut menaikkan motivasi pasukan KL City yang semakin ghairah menyerang dan berjaya menggandakan kelebihan hasil ledakan kapten, Paulo Josue yang bijak melakukan rembatan untuk memastikan penjaga gol JDT, Farizal Marlias tewas buat kali kedua pada minit ke-75.

Tersentak dengan gol tersebut, JDT semakin terdesak untuk memburu jaringan dalam usaha merapatkan kedudukan dengan memasukkan dua pemain serangan, Mohamadou Sumareh dan Syafiq Ahmad tetapi gagal menguji benteng kebal pasukan lawan.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan KL City memahat sejarah menjulang trofi Piala Malaysia musim ini di hadapan hampir 20,000 penyokong yang membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan KL City bakal diberikan slot automatik beraksi dalam kancah Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada saingan musim depan.

Sebagai rekod, kali terakhir KL City menjuarai trofi Piala Malaysia adalah pada edisi 1989 ketika merekodkan gelaran hatrik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI