PERHITUNGAN taktikal dijangka akan jadi penentu kepada penentuan juara Piala Malaysia apabila Kuala Lumpur City dan Johor Darul Ta’zim (JDT) terikat tanpa jaringan di babak pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Pendekatan KL City yang seakan terlalu berhati-hati sepanjang 15 minit pertama hampir mengundang padah sebaliknya rembatan penyerang JDT, Bergson da Silva pada minit ke-9 sekadar singgah di tiang gol.
Selepas itu, anak buah Bojan Hodak mula dilihat makin berani untuk memasuki kawasan lawan namun masih gagal menghadirkan tekanan buat Farizal Marlias di gawang JDT.
Walaupun cuba ditekan, Harimau Selatan masih mampu bertenang untuk kekal selesa mengawal tempo permainan.
Arif Aiman Hanapi dilihat lebih banyak digunakan JDT untuk mengatur gerakan dan pemain muda itu beberapa kali berjaya mengatasi pertahanan kanak KL City, Kamal Azizi Zabri.
Bagaimanapun, dalam tempoh 10 minit terakhir, penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza cukup tangkas menafikan beberapa peluang terbaik dimiliki JDT sekali gus menyaksikan 45 minit pertama berakhir tanpa jaringan.