MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola memuji serta menyifatkan kakitangan sokongan kelab sebagai ‘pemain terbaik’ perlawanan ketika membantu pasukan meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas West Ham United kelmarin.
Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad itu diselubungi cuaca sejuk hingga menyaksikan permukaan padang dilitupi salji.
Justeru, Guardiola pantas menghamburkan pujian kepada kakitangan sokongan itu yang bekerja gigih bagi memastikan keadaan cuaca tidak menjejaskan pasukan.
“Langsung tidak bimbang. Penjaga padang adalah pemain terbaik untuk perlawanan ini. Mereka melakukan tugas hebat untuk membolehkan kami beraksi.
“Kami baru saja mengharungi perlawanan sukar berdepan PSG (dalam saingan Liga Juara-Juara) dan kami juga tahu pasukan yang kami hadapi kali ini.
“Menerusi apa yang sudah dilakukan pemain dan prestasi dipamerkan secara keseluruhan, ia adalah keputusan yang hebat buat kami.
“Kami tidak akan melepaskan jaringan. Mungkin kami boleh mencari rentak permainan berbeza, namun cuaca tidak membenarkan kami melakukannya,” kata Guardiola.
Keputusan itu adalah kemenangan kelima berturut-turut buat The Citizens sepanjang November dan pasukan berkenaan seharusnya berterima kasih kepada jaringan Ilkay Gundogan dan Fernandinho yang masing-masing meledak satu gol pada aksi tersebut. – AGENSI