fbpx

Kami bukan pasukan pilihan – Mora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MORA (kiri) mendedahkan anak-anak buahnya cukup bermotivasi untuk memastikan trofi keramat Piala Malaysia akan kekal di bumi Johor menjelang aksi final menentang KL City di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. Hadir sama Farizal. – FARIZ RUSADIO

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI dan MOHD. FITRIE MUHAMAD

PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan dilabelkan sebagai pilihan tetapi memberi jaminan akan mempamerkan aksi kelas tersendiri menjelang aksi final Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan yang juga juara bertahan mara ke pentas final buat kali ketiga dalam tempoh lima tahun selepas menundukkan dua pasukan ‘gergasi’ iaitu Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC).

Lebih menarik, JDT hanya memerlukan 15 minit untuk meledak tiga gol ketika separuh akhir kedua bertemu skuad Sang Penyu selain berjaya mendominasi perlawanan meskipun ­diarahkan beraksi dengan 10 pemain minggu lalu.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora berkata, pasukannya cukup bermotivasi untuk memastikan trofi keramat itu dapat dikekalkan di bumi Johor terutama apabila edisi Piala Malaysia kali ini cukup istimewa dengan sambutan ulang tahun ke-100.

“Ada rekod yang tidak boleh dinafikan dan saya percaya perlawanan final kali ini akan mencipta sejarah tersendiri terutama apabila kejohanan Piala Malaysia memasuki edisi ke-100.

“Mengenai perancangan taktikal, sudah tentu saya akan pastikan barisan pemain berada pada tahap terbaik dan bermain se­perti yang kita rancang dan tidak sekadar berpuas hati dengan penguasaan bola semata-mata.

“Jika boleh ulang seperti minggu lalu, ketika pasukan dapat menjaringkan gol awal, kita akan cuba untuk lakukan jika pasukan mahu merekodkan kemenangan,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, Mora turut mengakui kualiti yang ada pada KL City ketika ini agak berbeza selepas menunjukkan peningkatan mendadak di bawah kendalian pengendali import, Bojan Hodak.

“Kita berjaya menyingkirkan dua pasukan terbaik Liga Malaysia seperti KDA FC dan TFC, namun cabaran yang bakal diberikan oleh KL City tidak boleh dipandang mudah kerana mereka cukup konsisten ketika ini.

“Kekuatan mereka sudah tentulah barisan pertahanan yang agak solid tetapi ia tidak akan melemahkan semangat pemain saya untuk memburu kemenangan nanti,” kata pengendali kelahiran Mexico itu.

Sementara itu, penjaga gol No.1 JDT, Farizal Marlias me­ngingatkan barisan pemain agar berwaspada dengan ancaman yang boleh diberikan penyerang utama KL City, Romel Morales.

“Kita sudah melakukan analisis mengenai corak permainan KL City dan Morales sudah tentu menjadi tumpuan utama pemain yang wajar dirantai kerana dia sememangnya cukup tajam dalam kotak penalti.

“Pada masa sama, kekuatan KL City juga adalah menerusi sepakan set pieces yang mana saya harap barisan pemain berwaspada kerana situasi tersebut boleh memberi kelebihan buat pasukan lawan,” katanya.

JDT yang telah bergelar juara lapan kali berturut-turut Liga Super sebelum ini berjaya menjulang trofi Piala Malaysia dua kali dalam sejarah mereka pada edisi 2017 dan 2019.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI