KOTA BHARU- Seorang jururawat hanya mampu berputih mata apabila semua wang simpanan sebanyak RM170,000 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota dan pegawai polis bulan lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, berdasarkan keterangan wanita berusia 43 tahun itu, dia telah dihubungi oleh seorang lelaki mendakwa sebagai anggota polis.
Menurutnya, suspek kemudian menghantar satu laporan menerusi aplikasi WhatsApp kepada mangsa sebelum menyuruh wanita itu melaporkan pergerakan dan aktiviti yang dilakukannya setiap hari bermula dari pukul 9 pagi hingga 8 malam.
“Mangsa kemudian dihubungi oleh seorang wanita yang mendakwa sebagai pegawai polis dan memberitahu bahawa pihak Unit Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) akan menjaga akaun bank miliknya.
“Sehubungan dengan itu, suspek meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank atas nama seorang individu sebelum wanita itu membuat pembayaran sebanyak RM25,800 pada 20 Oktober lalu,” katanya.
Menurut Shafien, selepas membuat bayaran itu, mangsa kemudian telah membuat tujuh lagi transaksi pemindahan wang ke empat akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM170,000.
Ujarnya, selepas semua traksaksi dilakukan, mangsa cuba menghubungi suspek pada 13 November lalu, namun gagal.
“Menyedari dirinya diperdaya, mangsa telah tampil membuat laporan polis pada 23 November lalu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-K! ONLINE