fbpx

Ibu DJ lin masuk hospital diserang strok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJ Lin memberitahu ibunya kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di hospital setelah diserang strok semalam.

PETALING JAYA – Penyampai radio Suria FM, DJ Lin memberitahu ibunya terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru selepas diserang strok secara tiba-tiba semalam.

DJ Lin berkata, sebaik sahaja menerima panggilan mengenai kesihatan ibunya daripada adik beradik lain malam Sabtu lalu, dia terus bergegas pulang ke Johor Bahru bersama anaknya.

“Hari Sabtu tu selepas pulang dari dialisis, ibu saya mengadu dan memberitahu dia rasa tak sedap badan.

“Percakapannya pun kurang jelas. Sempat ibu beritahu adik saya untuk hubungi dan maklumkan kepada saya mengenai tahap kesihatannya,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 45, ibunya kini sudah dipindahkan ke wad biasa selepas seharian berada di wad isolasi sementara menunggu keputusan ujian calitan Covid-19.

“Ibu sudah dipindahkan ke wad biasa tengah hari tadi. Pihak hospital juga membenarkan untuk seorang ahli keluarga menjaga kerana pergerakan ibu agak terhad. Jadi saya korbankan cuti untuk menjaga ibu hinggalah dia dibenarkan keluar wad nanti.

“Sekarang pun ibu masih lagi dalam pemantauan doktor. Terima kasih atas titipan doa semua buat ibu saya,” katanya.

Terdahulu, Penyampai Radio Popular Bintang Anugerah Bintang Popular ke-34 itu memuat naik hantaran dalam Instagram mengenai status kesihatan ibunya.

“DJ Lin bergegas pulang ke Johor sebaik dimaklumkan ibunda tercinta, Mak Puteh telah dimasukkan ke wad isolasi Sultan Ismail) akibat serangan strok.

“Yang sedihnya, ahli keluarga tak dibenarkan untuk menjaga beliau. Allahu sebaknya perasaan bimbang semuanya bercampur rasa.

“Ada ke peminat DJ Lin yang bertugas di hospital tersebut. Kalau ada harap sudilah kiranya tolong tengokkan mak saya ya,” tulisnya.

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengikut menitipkan doa agar kesihatan ibunya kembali stabil dan segera sembuh seperti sedia kala. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI