KLANG – Peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul amat sesuai digunakan bagi menggambarkan kesukaran hidup dihadapi lima beradik yang kisah hidup mereka diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Sudahlah terpaksa menumpang kasih dengan ibu saudara selepas ibu mereka meninggal dunia, si abang pula bersekolah setakat tahun enam sebelum berhenti bagi menyara hidup empat adiknya dan membantu bapa yang kurang sihat mencari rezeki.
Remaja berkenaan, Muhammad Sulaiman Ahmad Yusuf, 17, yang menetap di Flat Sri Perantau di sini berkata, dia berkorban meninggalkan alam persekolahan lima tahun lalu demi membantu bapanya meringankan beban keluarga.
Katanya, tindakan itu supaya empat lagi adiknya berusia antara 10 hingga 14 tahun dapat bersekolah dan mengisi perut untuk hidup sehari-hari.
“Bapa hanya bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,800. Kami jadi yatim selepas ibu, Azizah Ismail, 49, meninggal dunia empat tahun lalu akibat kencing manis.
“Bertambah malang dan sedih apabila abang sulung, Ahmad Mansor, 27, maut akibat nahas jalan raya beberapa bulan kemudian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Tambahnya, dengan tahap pelajaran setakat tahun enam dan tiada pengalaman luas, dia kini bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai baju dengan gaji bulanan RM800.
Menurut Muhammad Sulaiman, bapanya jarang pulang ke rumah kerana perlu melakukan kerja di luar kawasan sebagai buruh binaan menyebabkan kelima-lima mereka tinggal bersama ibu saudara, Habibah Tahir, 45, yang sudah berkahwin.
“Rumah yang kami tumpang berteduh merupakan milik datuk dan bapa sendiri tidak berapa sihat kerana menghidap sakit pada bahagian perut, namun dia menggagahkan diri untuk menyara kami,” katanya.
“Memang kami umpama kais pagi makan pagi dan berharap sekiranya ada yang sudi membantu,” jelasnya dengan nada sedih.
Ujar Muhammad Sulaiman, mereka juga tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan bagi menampung kehidupan yang serba kekurangan.
Sehubungan itu, dia merayu kepada orang ramai yang ingin membantu keluarganya boleh menghubunginya melalui Habibah di talian 017-239 6208.