GEORGE TOWN – Seramai 8,733 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara sudah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, jumlah itu merangkumi kira-kira 7.6 peratus daripada keseluruhan 106,352 anggota dan pegawai PDRM.
Menurut beliau, setakat ini tiada kes anggota dan pegawai pihak berkuasa berkenaan yang menolak suntikan vaksin tersebut.
“Kita juga sedang tunggu giliran daripada Kementerian Kesihatan untuk anggota dan pegawai yang masih belum menerima dos penggalak ini menerima suntikan tersebut,” katanya selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan zakat kepada asnaf, balu, anak yatim dan pesara polis di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban di sini.
Pada majlis itu seramai 40 orang termasuk sembilan asnaf, pesara (20), mualaf (sembilan) dan balu (dua) menerima sumbangan berupa bakul makanan bernilai RM100 dan wang tunai sebanyak RM200.
Dalam perkembangan berbeza, Mazlan berkata, sebuah ibu pejabat kontinjen polis Pulau Pinang yang baharu akan dibina di daerah Timur Laut di sini dengan kos RM300 juta yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). – K! ONLINE