SEPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah mengambil tindakan terhadap 45 kes membabitkan kenaikan harga makanan bermasak di seluruh negara sejak 6 November lalu.
Pengarah Penguat Kuasanya, Azman Adam berkata, tindakan itu diambil menerusi Ops Menu membabitkan pemeriksaan ke atas 4,064 premis makanan di seluruh negara setakat hari ini.
Beliau berkata, antara kesalahan dikesan termasuk harga melampau, tiada tanda harga dan harga tidak sama pada buku menu.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan pemeriksan di beberapa buah restoran dan pasaraya di Kota Warisan di sini hari ini.
Katanya, pihak akan meneruskan Ops Menu sehinggalah peniaga patuh kepada undang-undang ditetapkan selain memberi jaminan kepada pengguna untuk terus berbelanja tanpa was-was. – K! ONLINE