fbpx

Yonnyboii pelik tak diserang panik waktu akad nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yonniboii sudah berkahwin dengan gadis pilihan, Nik Nazira.

PETALING JAYA – Genap sembilan hari bergelar suami, Yonnyboii menganggap pernikahan dengan isteri tercinta, Nik Nazira Nariman pada 20 November lalu sebagai momen penuh magis.

Katanya, selepas sekian lama berdepan masalah kebimbangan melampau atau ‘anxiety’, dia pelik apabila langsung tidak berasa gementar mahu pun mengalami serangan panik ketika sesi akad nikah.

“Saya masih ingat lagi momen pernikahan walaupun hampir dua minggu berlalu yang seakan melalui magis kerana saya bukan saja lancar melafazkan akad malah merasai perasaan paling tenang dan bahagia.

“Saya sendiri pelik sebab beberapa hari sebelum itu saya agak bimbang dengan bermacam-macam perkara bermain di fikiran terutama soal tanggungjawab yang bakal digalas nanti.

“Namun betul kata orang, apabila kita yakin itulah jodoh terbaik dan cinta pandang pertama, segala kerisauan terus hilang sebaik si dia di depan menanti kami disatukan.

“Kiranya isteri menjadi penguat semangat sehingga saya kalis kebimbangan kerana bersama dia semacam ada magis terutama pada saat kami sah bergelar suami isteri,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, selamat bergelar suami Nik Nazira, 22, hanya dengan sekali lafaz pada acara yang berlangsung di Duchess Place, Ampang, tepat pukul 11 pagi.

Penyanyi lagu Tak Sangka itu memberikan mas kahwin berupa wang tunai RM500 berserta hantaran berjumlah RM40,000 yang dikatakan sebagai nombor bertuah mereka selain beberapa dulang hantaran.

Pasangan tersebut berkenalan menerusi permainan video atas talian dalam laman sosial selama setahun sebelum mengambil keputusan bertunang pada 9 Oktober lalu selepas sebulan menjalin cinta.

Katanya lagi, tindakan bernikah secara tertutup adalah bagi mengelakkan ada dikalangan keluarga terdekat berkecil hati kerana bilangan tetamu perlu mengikut had tertentu bersandarkan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya, mereka tidak berniat berahsia namun lebih kepada mengikut pandangan ibu bapa supaya melaksanakan perkara wajib dulu yang hanya disertai keluarga terdekat tanpa menghebahkannya dulu.

“Ikutkan bertunang pun kami tak mahu, ingin terus nikah tetapi kami hormati kehendak kedua-dua orang tua yang sependapat supaya elok ikut adat. Ikut SOP cuma boleh ajak 100 orang tapi saudara mara kami ramai, jadi teruskan dulu nikah, bersanding nanti kita jemput semua supaya tiada yang berkecil hati nama tercicir.

“Pada masa sama,  ramai dalam kalangan anggota keluarga terdiri daripada warga emas selain ada yang belum cukup dos vaksin. Kami tidak mahu mereka terdedah kepada risiko. Ini juga antara sebab kami tak kongsikan kepada umum.

“Lebih utama, matlamat bernikah lebih awal dari tarikh sepatutnya pada 22 Januari tahun depan pula bagi mengelakkan fitnah, manakala resepsi kita jalankan kemudian ikut tarikh asal.

“Apa pun kami memang rancang maklumkan sendiri kepada semua termasuk keluarga jauh kami berdua beberapa hari selepas semua urusan wajib ini selesai. Terima kasih kerana memahami dan mendoakan kami,” katanya.

Sementara itu, tanpa berselindung dia sempat mendedahkan berita pernikahannya nyaris tersebar ketika majlis berlangsung selepas seseorang memuatnaik gambar majlis tersebut dalam akaun TikTok tanpa pengetahuannya.

“Mujur ada seorang kawan perasan mengenai perkongsian video akad nikah kami di laman sosial ketika majlis masih berlangsung. Saya sempat meminta pemilik akaun tersebut memadamkannya.

“Bukan apa, tak manis kalau saudara mara kami tahu mengenai pernikahan ini dari laman sosial orang sebelum kami memaklumkan sendiri kepada mereka.

“Oleh sebab itu, emak juga minta kami cepat-cepat muat naik gambar nikah dalam Instagram bagi mengelakkan salah faham,” ulasnya lagi

Menyimpan hasrat mengusahakan perniagaan bersama isteri, Yonny dan Nazira kini sedang sibuk menguruskan urusan berpindah ke kediaman sendiri sekali gus menjadi penanda kehidupan baharu mereka.

“Buat masa ini saya dapat bercuti sekejap untuk uruskan soal rumah. Mungkin beberapa hari lagi kami dapat duduk rumah baharu. Sebelum ini, saya tinggal dengan emak, apabila sudah beristeri kena pandai berdikari.

“Apa pun pilih tempat tinggal yang dekat dengan kedua-dua keluarga kami supaya senang untuk menjenguk mereka,” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI