JAKARTA – Sepasang pengantin yang mengadakan majlis persandingan di sebuah kolam renang menjadi tular di media sosial Indonesia gara-gara memberikan hadiah sesi berenang sebagai cenderahati perkahwinan (doorgift), lapor laman berita Suara.com.
“Majlis perkahwinan bukan diberi doorgift berupa barangan, tetapi berenang secara percuma,” demikian kenyataan yang dimuat naik bersama hantaran tersebut.
Dalam video tersebut, dapat dilihat sebuah pelamin di tepi sebuah kolam renang dengan tetamu memenuhi ruangan itu untuk bersalam-salaman.
Di sudut lain pula, kelihatan beberapa pengunjung sedang berenang di kolam renang tersebut.
Klip video yang ditonton lebih 89,000 kali itu mendapat pelbagai komen daripada netizen.
“Adakah tetamu yang hadir dapat berenang dan makan secara percuma juga?,” soal seorang netizen.
“Bagus juga diberi berenang secara percuma kerana pengantin tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk membeli cenderahati,” komen seorang netizen lain. – AGENSI