SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes positif Covid-19 di pintu masuk antarabangsa di Tambak, Johor Bahru.
Pengesanan itu dilakukan pada hari pertama pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat yang menghubungkan Johor-Singapura melibatkan seorang individu hasil ujian antigen kit ujian pantas (RTK-Antigen).
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu bakar berkata, susulan itu juga ujian pantas Rantaian Reaksi Polimerase (PCR) akan dilakukan terhadap individu berkenaan bagi mengesahkan dia benar-benar dijangkiti Covid-19.
Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru sedang melaksanakan penilaian risiko terhadap penumpang bas yang bersama dengan individu dikesan positif itu sama ada mereka perlu menjalani kuarantin dan sebagainya.
“Saya tidak menganggap ini sebagai sesuatu yang boleh menggagalkan VTL, sebaliknya ini adalah contoh bagaimana pre-departure dan on-arrival testing (ujian) sebagai langkah-langkah pencegahan.
“Kita kena belajar daripada itu, memahami memang akan ada kes positif, tetapi yang penting adalah dari segi kebolehan dan keperluan diagnostik serta juga penilaian risiko yang dibuat oleh PKD apabila kes seperti ini berlaku apa langkah seterusnya,” katanya selepas menghadiri Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Covid-19 KKM di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini, hari ini.
Jelas beliau, perbincangan pelaksanaan VTL dengan negara jiran lain seperti Indonesia, Brunei dan Thailand masih berjalan termasuklah isu kemunculan varian baharu yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC), Omicron.
Dalam perkembangan berlainan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan belum memutuskan untuk melakukan sekatan perjalanan terhadap negara-negara yang dikesan mempunyai varian Omicron.
“Langkah-langkah (berkaitan) akan dibincangkan di peringkat kementerian. Kita kena tengok keganasan Omicron dan laporan awal hanya menyebabkan gejala sederhana sahaja dengan liputan vaksin di Afrika Selatan rendah.
“Kita akan mengkaji dengan lebih mendalam lagi kerana ia bukan soal ujian namun melibatkan soal keberkesanan vaksin. Perkara itu akan diperoleh daripada pengeluar vaksin yang sedang melaksanakan kajian dengan pantas sama ada vaksin mereka berkesan terhadap Omicron ataupun tidak,” jelasnya. – K! ONLINE