fbpx

Peniaga Larkin Sentral kembali ‘hidup’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEBERAPA pekerja membersihkan kerusi dengan menyembur cecair pembasmi kuman sebagai persediaan pelaksanaan VTL darat yang bermula hari ini di Larkin Sentral, Johor Bahru semalam. – RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Peniaga di Larkin Sentral di sini dapat menarik nafas lega ekoran pelaksanaan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat bermula hari ini yang akan membenarkan sehingga 1,440 pengembara dari Singapura pulang ke negara ini.

Peniaga baulu, Shahrilnizam Mohamed, 50, berkata, pihaknya teruja dengan pelaksanaan inisiatif itu yang akan memberi kesan positif kepada perniagaannya.

Menurutnya, sejak pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaannya merosot sehingga 90 peratus.

“Selain rakyat tempatan, sekitar 90 peratus pelanggan saya adalah warga Singapura.

“Sebagai persediaan esok (hari ini), saya akan meningkatkan jumlah adunan untuk membuat baulu berbanding hanya satu adunan sehari sepanjang tempoh PKP sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sementara itu, penyelia kedai jus buah-buahan, Syazryan Zainal, 18, memberitahu, premisnya baru berpindah operasi ke Larkin Sentral dari pusat beli-belah Toppen pada Jumaat lalu.

“Keputusan untuk berpindah ke sini adalah kerana kami menjangkakan lokasi ini akan mempunyai potensi besar dengan mengambil kira pengunjung dari Singapura yang akan datang me­lalui inisiatif VTL,” ujarnya.

Bagi Setiausaha Persatuan Keusahawan India Muslim Johor, Hussein Ibrahim pula berkata, ketika PKP, lebih 10 pengurup wang di Larkin Sentral terpaksa ditutup sementara kerana ketia­daan pelanggan.

“Walaupun kedai ditutup, peniaga terpaksa bayar sewa bulanan dan pelaksanaan VTL akan menghidupkan semula lebih 100 kedai pengurup wang,” ujarnya.

Ketika ini, Terminal Bas Larkin Sentral sudah bersiap sedia menyambut 90 pengembara dalam satu-satu masa yang akan tiba menerusi VTL darat bermula hari ini. Buat masa ini, kuota yang dibenarkan hanya 1,440 pengembara sehari.

Ketibaan pertama hari ini dijadualkan pukul 8.50 pagi dengan kapasiti sebanyak 45 penumpang dan setiap bas dihadkan 45 penumpang sahaja.

Ketibaan dari Singapura bagi setiap perjalanan mengambil di antara 30 hingga 45 minit dan bas terakhir dijangka tiba selewat-lewatnya pukul 9.30 malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya di Singapura, Lee Hsien Loong dijangka melancarkan hari pertama VTL darat hari ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI