fbpx

PDRM dicadang wujudkan ‘talent scout’, cari calon pegawai, anggota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hamzah (kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan kunci IPD Iskandar Puteri, Johor kepada Acryl Sani hari ini. - FOTO: BAZLAN IBRAHIM

ISKANDAR PUTERI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicadangkan untuk menubuhkan satu pasukan pencari atau ‘talent scout’ dalam memastikan pengambilan pegawai dan anggota agensi keselamatan itu terdiri daripada calon terbaik di seluruh negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, penubuhan pasukan itu berupaya membantu PDRM memilih calon yang benar-benar berminat dan berkeupayaan.

Katanya, langkah itu secara tidak langsung juga akan membantu mencapai hasrat pihaknya menjadikan PDRM sebagai agensi keselamatan bertaraf dunia.

“Asas utama kekuatan PDRM adalah anggotanya, kalau kita hendak pertingkat sudah tentu kita perlu tarik minat mereka untuk bersama dengan PDRM, biar yang memohon sebagai pegawai atau anggota adalah mereka yang terpilih.

“Saya minta kalau boleh, ada ‘talent scout’ diwujudkan oleh PDRM dan dimulakan di peringkat sekolah menengah. Kita mahu mereka yang benar-benar mahu menjadi polis, bukan lagi mereka yang melihat kerjaya ini sebagai pilihan terakhir.

“Melalui ‘talent scout’ ini, saya yakin pengambilan anggota boleh ditambah baik dengan mengambil kira aspek modal insan melibatkan ‘soft skills’, ’emotional intelligence’ dan ‘tech savvy’, ini yang kita mahu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Tambahnya, sekiranya perkara itu dapat dilaksana, PDRM akan berupaya menjadi satu agensi keselamatan contoh yang boleh dibanggakan di peringkat antarabangsa.

“Selain daripada pembangunan aspek fizikal dan infrastruktur, kita juga perlu memberi tumpuan kepada aspek latihan buat pegawai dan anggota polis di negara ini.

“Latihan yang hendak diberi itu perlulah latihan yang boleh bersaing dengan polis luar negara, kita mahu PDRM menjadi setaraf dengan polis ‘Scotland Yard’ atau polis Hong Kong yang biasa kita dengar kisah kejayaan mereka.

“Insya-Allah, saya percaya dengan kepimpinan Ketua Polis Negara, kita akan mampu mempertingkatkan PDRM ke satu taraf membanggakan di peringkat dunia,” tambahnya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI