KETIKA memperkenalkan dirinya selaku wajah baharu dalam arena industri seni negara menerusi penyertaan sebagai peserta program Mentor musim ketujuh (Mentor 7) pada 2018, kemunculannya menjadi tumpuan.
Memiliki suara serak basah dengan imej ‘rock n roll’ bersama juraian rambut panjangnya, sosok tubuh seorang anak muda bernama Pasya pantas menangkap perhatian peminat ketika itu.
Selepas tiga tahun melalui kehidupan sebagai penyanyi baharu, Pasya diberikan kepercayaan menyanyikan lagu untuk runut bunyi drama Diari Seorang Suami yang sedang ditayangkan ketika ini untuk slot Lestary TV3.
Menerusi naskhah yang dibintangi Afieq Shazwan dan Yuna Rahim tersebut, Pasya, 27, diberi mandat menyanyikan lagu berjudul Kemelut yang dihasilkan oleh Zimi Sofazr dan Jerry.
Berpeluang menemu bual anak muda itu menerusi maya baru-baru ini, dia bercakap tentang transisi genre yang dilakukannya menerusi Kemelut berbanding dengan apa yang pernah dipersembahkan kepada umum sebelum ini.
“Kali ini dalam Kemelut, saya tampil dengan genre yang berbeza sedikit berbanding dua buah single terdahulu, Rapsodi Jalanan dan Arca.
“Untuk single Rapsodi Jalanan, ada dimasukkan elemen band iaitu busker. Single kedua pula lebih bercorak kontemporari dan ‘electronic’.
“Sekarang, saya back to basic iaitu memenuhi cita rasa rakyat Malaysia yang gemarkan lagu berunsur sedih dan sentimental. Kesimpulannya, kelainan yang saya bawa kali ini adalah dengan mengikut selera orang ramai,” jelasnya.
Menerima sambutan yang baik daripada pendengar, pemilik nama lengkap Faizul Asyraf Fauzi itu mengakui, dia perlu ‘tunduk’ dengan permintaan serta kehendak pasaran kerana itulah tugasnya sebagai seorang penyanyi.
“Tak susah nak tukar genre daripada dua buah lagu terdahulu, sebab tugas seorang penyanyi memang begini. Kena nyanyi macam-macam jenis lagu.
“Menerusi Kemelut, saya anggap ini fasa bereksperimentasi dengan lagu. Mungkin sekarang saya ikut selera orang, kemudian nanti saya turuti tekak sendiri. Kalau tak jadi, kita pusing semula,” ujarnya.
Kembali mendaki
Tiada kata-kata mampu digambarkan penyanyi kelahiran Selangor itu kerana pada saat dia baru memulakan pendakian, langkahnya terhenti dek pandemik yang mencengkam dunia.
“Selepas Mentor, saya hanya sempat ‘menjual’ bakat selama setahun sebelum pandemik muncul. Ibaratnya pada waktu itu, saya baru nak mendaki, tetapi tersadai di pertengahan jalan. Tak sempat menuju ke puncak.
“Cuma saya sangat bersyukur, sepanjang ‘berehat’ kerana pandemik, peminat tidak henti-henti memberi galakan untuk kembali ke landasan.
“Saya tak menang Mentor, jadi ramai peminat kecewa. Sebab itu mereka minta saya masuk pertandingan lain,” katanya.
Demi memastikan kariernya tidak tergelincir selepas pandemik, Pasya menyertai program Lagu Cinta Tiga musim ketiga (LCK3) bergandingan dengan Puteri Khareeza, vokalis kumpulan Venus.
Penyertaan tersebut sekali gus membuktikan penyanyi itu langsung tidak pernah ada rasa putus asa dalam kariernya.
“Untuk saya, karier sepenuh masa adalah muzik. Sebelum ini saya bergelut selama 14 tahun lamanya untuk sampai ke tahap ini, jadi saya anggap kedatangan pandemik sebagai waktu rehat.
“Dahulu, macam-macam saya dah lalui. Maka saya anggap dua tahun sepanjang pandemik sebagai satu percutian panjang,” katanya optimis.
Merantau, ‘busking’
Bagaimanapun, tempoh yang dianggapnya sebagai masa bercuti tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin dengan keluar dari zon selesa apabila melakukan ekspedisi ke beberapa lokasi di seluruh negara.
Pasya keluar mengembara dengan menjalani kehidupan sebagai penyanyi ‘busking’ selama tiga bulan lamanya di beberapa buah pulau peranginan popular negara bermula di Pulau Perhentian dan Pulau Kapas di Terengganu serta Pulau Tioman (Pahang) termasuk di Kuantan, Melaka dan Perlis.
“Saya keluar mengembara sebelum Kuala Lumpur dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0). Saya dan kawan-kawan pergi ke negeri yang tak dikenakan PKP dan tak pernah sampai sebelum ini supaya boleh cari makan.
“Alhamdulillah, petualangan kami mendapat sambutan baik orang-orang kampung. Mereka sangat baik hati, siap bagi tempat tinggal untuk kami. Saya sifatkan momen tersebut sebagai pengembaraan ‘rock n roll’ yang sempurna,” ujarnya yang sememangnya bermula sebagai penyanyi jalanan.
Bukan sekadar tujuan mencari rezeki ketika dunia dilanda pandemik, namun kembara Pasya tempoh hari diibaratkannya sebagai pengalaman mewah dari segi jiwa.
“Mungkin tak mewah dari segi kelengkapan tetapi sangat mewah untuk pengalaman dan jiwa saya.
“Kalaulah dalam tempoh dua tahun tak buat apa-apa, semangat boleh jatuh. Tapi perantauan kami buatkan saya semakin bersemangat dan nak lawan bersungguh-sungguh dalam perjalanan ini,” tuturnya sebelum menutup bicara.