KOTA BHARU – Nadia Fizatul Hanim Zamani, 23, yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 74, Jalan Air Sejuk di Setiu, Terengganu baru sahaja beberapa minggu mengandung anak sulungnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh ibu saudaranya, Salmi Arshad, 53.
Berita Berkaitan: Maut kemalangan dalam perjalanan ziarah jenazah ibu
Menurut Salmi, anak saudaranya memaklumkan berita gembira itu kepadanya kira-kira dua minggu lalu melalui panggilan telefon.
“Saya amat gembira apabila dia bakal menerima cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pasangan itu telah berkahwin pada Oktober lalu.
Menurut Salmi, dia tidak menyangka kegembiraan mereka sekeluarga yang bakal mendapat ‘orang baharu’ bertukar hiba selepas ibu Nadia Fizatul Hanim meninggal dunia akibat komplikasi penyakit darah tinggi kelmarin.
“Tidak lama selepas itu, kami dikejutkan dengan berita kemalangan yang meragut nyawa Nadia, manakala suaminya pula cedera parah.
“Kini kami kehilangan dua ahli keluarga dalam sekelip mata, namun reda dengan segala ketentuan Ilahi,” katanya.
Menurut Salmi, jenazah Nadia Fizatul Hanim dan ibunya yang mesra dengan panggilan Kak Chik yang juga adik iparnya selamat dikebumikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Bukit Ajil, Machang selepas solat asar semalam.
Terdahulu, hasrat seorang wanita untuk menziarahi jenazah arwah ibunya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Setiu semalam. -K! ONLINE