fbpx

Malaysia-Singapura setuju laksana langkah tambahan VTL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (dua dari kiri) Hsien Loong (dua dari kanan) di Singapura hari ini.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan Malaysia dan Singapura mencapai persetujuan bagi melaksanakan langkah-langkah tambahan di bawah Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

Beliau memaklumkan, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk memasukkan semua kategori pengembara di bawah VTL-Laluan Darat (VTL-Land), tertakluk kepada syarat-syarat kesihatan yang ditentukan oleh Malaysia dan Singapura.

Katanya, VTL-Land juga akan diperluaskan dengan menambah laluan perkhidmatan bas menerusi Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

“Kereta api akan dioperasikan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM), dan merangkumkan kenderaan persendirian seperti motosikal dan kereta secara berperingkat-peringkat.

“Kami menyedari bahawa pembukaan semula sempadan adalah penting untuk menghidupkan semula aktiviti sosial dan ekonomi rentas sempadan yang akan memanfaatkan rakyat dari kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena lawatan rasmi pertamanya ke Singapura hari ini.

Ismail Sabri dan barisan delegasinya menggunakan Tambak Johor untuk ke Singapura sebelum disambut oleh rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong di Woodlands Checkpoint.

Pada masa sama, beliau dan Hsien Loong turut membincangkan mengenai pergerakan rentas sempadan menerusi udara melibatkan destinasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, ujarnya, langkah-langkah berkaitan perkara tersebut harus dimulakan oleh para pegawai kedua-dua negara.

Menurut beliau, mereka juga bersetuju untuk meneruskan mekanisme bilateral sedia ada kedua-dua negara, termasuklah Pemukiman Pemimpin Tahunan Malaysia-Singapura ke-10 yang telah ditangguhkan selama dua tahun akibat Covid-19.

“Insya-Allah, ia akan dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan dan saya tidak sabar untuk kembali ke Singapura,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, mereka juga bersetuju bahawa mekanisme lain di peringkat kementerian dan para pegawai harus diteruskan secepat mungkin.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI